USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, SPECIAL OLYMPICS MALAYSIA METERAI MOU BAGI MARTABATKAN OKU PENGLIHATAN

KUBANG KERIAN, 18 April 2019 – Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Special Olympics Malaysia (SOM) untuk memartabatkan golongan orang kelainan upaya (OKU) intelek atau Intellectual Disabilities (ID).

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, USM melalui Jabatan Oftalmologi Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Kampus Kesihatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang kesihatan mata bersedia membantu pihak SOM dalam menyediakan kemudahan dan memberi segala nasihat kepakaran kepada golongan ID.

“USM menyambut baik kerjasama strategik dengan SOM iaitu sebuah badan sukan amal yang didaftarkan di bawah Suruhanjaya Sukan, Kementerian Belia dan Sukan dengan memberi khidmat penjagaan kesihatan, pendidikan, latihan dan bimbingan acara sukan Olimpik kepada golongan kelainan upaya intelek ini.

“Melalui program yang dinamakan ‘Opening Eyes’, pihak USM akan berkolaborasi dengan SOM dalam menyediakan pemeriksaan mata secara percuma, rujukan kepakaran, preskripsi kaca mata serta alat optikal khas bagi kegunaan ahli sukan paralimpik,” katanya.

Katanya lagi, dalam memartabatkan golongan OKU, USM telah memperkenalkan Modul Latihan Pekerjaan OKU Intelek sejak tahun 2012 di Kampus Kesihatan yang mana ramai golongan OKU berjaya dilatih untuk bekerja, dengan kesemuanya telah mendapat pekerjaan dan mampu berdikari.

"Saya juga menyeru kepada ibu bapa terutama yang mempunyai anak Celebral Palsy (CP) agar membawa anak mereka ke hadapan untuk dibantu pelbagai agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan golongan OKU juga mampu untuk berdikari dan berada dalam golongan masyarakat.

“Malah salah seorang daripada graduan berkenaan telah mendapat geran JKM untuk mengusahakan nurseri tanaman dengan memperoleh pendapatan RM3,000 sebulan,” tambahnya.

Naib Canselor juga berharap menerusi MoU ini, Kampus Kesihatan USM akan menjadi hub rujukan bagi kes yang bermasalah penglihatan bagi Wilayah Pantai Timur, di samping memperkembangkan kerjasama untuk meliputi disiplin-disiplin yang lain seperti pergigian dan sebagainya.

Beliau berkata demikian selepas hadir di Majlis Memeterai MoU dengan SOM di Kampus Kesihatan USM di sini. Hadir sama, Pengerusi Special Olympics Malaysia Nur Azida Daud; Timbalan Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM Profesor Dr. Adam Husein; Timbalan Dekan Libatsama Industri & Jaringan Komuniti PPSP, Profesor Dr. Wan Hazabbah Wan Hitam.

Teks: Mohamad Iqmal Mathlan/Foto: Mohd Asrar Rokeman

  • Created on .
  • Hits: 1095

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024