MPC DAN USM TUBUHKAN UNIT PRODUKTIVITI MPC@USM
PULAU PINANG, 18 April 2019 – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Pusat Pengajian Pengurusan (PPP), Universiti Sains Malaysia (USM) menubuhkan Unit Produktiviti MPC@USM bagi meningkatkan agenda produktiviti di samping membina laluan lebih jelas untuk meningkatkan produktiviti dengan menghasilkan bakat-bakat berkemahiran tinggi yang memenuhi kehendak pasaran kerja semasa dan masa hadapan.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, kolaborasi ini sangat penting dalam menyediakan platform untuk para pelajar bekerjasama dengan industri terutama dalam bidang pengurusan dan kecekapan operasi.
“Kita perlu terus mencari cara baru untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi serta mempraktikkan amalan terbaik apabila pendekatan pelbagai disiplin dijalankan dengan lebih seimbang dan menyeluruh,” tambah Naib Canselor.
Ketua Pengarah MPC, Dato’ Mohd Razali Hussain pula berkata, MPC telah lama menjalinkan kerjasama dengan institusi pendidikan di dalam negara dan ianya sangat bermanfaat, tambahan pula pada ketika ini kolaborasi industri-akademia amat penting dalam memajukan negara ke arah Industri 4.0.
“Kerjasama industri-akademia adalah salah satu cara untuk mempertingkatkan kolaborasi dalam memperkasakan ilmu pengetahuan serta idea melalui penyelidikan yang berterusan serta pengkomersilan,” tambahnya.
Penubuhan Unit Produktiviti ini juga adalah hasil daripada penandatanganan Memorandum Perjanjian (MoA) dan perbincangan bersama kedua-dua pihak.
Melalui unit ini, pelbagai program bakal dilaksanakan termasuk program Executive Management Excellence (EMEX), penerbitan buku serta program-program lain untuk pembangunan produktiviti.
Pada majlis yang sama, turut diadakan Seminar on Productivity for Future Talent towards Industry 4.0 yang melibatkan lebih 300 pelajar USM dan wakil industri yang disampaikan oleh pengarah-pengarah MPC.
Turut hadir ialah Dekan PPP, Profesor Dr. Noor Hazlina Ahmad; Pengarah MPC Wilayah Utara, Dr. Mazrina Mohamed Ibramsah serta Timbalan Ketua Pengarah Kualiti dan Pembangunan Kecemerlangan, Ab Rahim Yusoff.
Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 1582