DUA ATLET KARATE USM TERIMA ANUGERAH BIASISWA KPM
PULAU PINANG, 16 April 2019 – Dua orang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) yang merupakan atlet karate, Ivan Oh Theng Wei, 22, dan Chang Sin Yi, 22 menerima anugerah biasiswa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bernilai RM6,000.
Menurut Theng Wei, anugerah ini amat bermakna kepadanya sebagai menghargai usaha dan pengorbanannya selama ini dalam sukan karate.
“Usaha saya selama ini berbaloi dengan anugerah yang diterima dan saya akan terus berusaha keras mengharumkan nama USM dan negara, dan mengekalkan fokus yang sedia ada,” katanya.
Pelajar pengkhususan Ekonomi di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan itu berharap untuk terus berjaya dalam kedua-dua bidang pada masa hadapan dan berhasrat meneruskan pengajian pada peringkat sarjana dalam bidang psikologi.
Antara pencapaian terbaik Theng Wei ialah memenangi pingat emas pada tahun 2016 dalam Kejohanan Karate 1 Premier League, di Dubai, UAE dan pada tahun ini mendapat pingat perak dalam 2019 Karate 1 Series A, di Salzburg, Austria.
Sin Yi pula menyifatkan anugerah yang diterimanya itu sangat bermakna dan menjadi motivasi untuk terus berjaya.
Pelajar Pusat Pengajian Pengurusan dengan pengkhususan dalam bidang Kewangan itu akan berusaha lebih keras untuk mengharumkan nama USM dan negara dalam bidang karate.
“Saya juga akan berusaha lebih kuat dalam bidang akademik agar mencapai kejayaan lebih bermakna pada masa hadapan,” kata Sin Yi.
Antara pencapaian terbaiknya ialah memenangi pingat perak dalam 15th Asian Senior Karate Championship dalam acara berpasukan yang telah diadakan di Amman, Jordan.
Teks: Mohamad Abdullah/Infografik: BHEPA USM
- Created on .
- Hits: 1557