COSMOS BINCANG PENGGUNAAN TEKNOLOGI MODEN PACU PEMBANGUNAN
PULAU PINANG, 15 April 2019 – Workshop on Complex Systems Modelling and Simulation 2019 (CoSMoS) disifatkan sebagai platform utama dalam mengintegrasikan teknologi terkini seperti data raya (big data) dan internet of things (IoT) bagi memperkasa pembangunan negara dan menyelesaikan isu-isu semasa.
Antara topik yang diketengahkan dalam CoSMoS adalah berkenaan potensi untuk menggabungkan kaedah data raya dan IoT dengan teknik Pemodelan Berasaskan Ejen (ABM) untuk membuat ramalan tentang sistem kompleks (biologi, fizikal atau kejuruteraan) yang boleh digunakan untuk menyokong proses membuat keputusan.
Salah satu sasaran utama dalam CoSMoS adalah menggunakan teknologi berkenaan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk tempatan, terutamanya di Pulau Pinang, Malaysia dan bahagian-bahagian lain di serata dunia khususnya dalam bidang-bidang berpotensi termasuk pengangkutan, pertanian dan sebagainya.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohamad Sadullah berkata, di usia USM yang kini masuk tahun ke-50, Institusi ini sentiasa komited berusaha untuk mentransformasi pendidikan tinggi dengan memberi keutamaan kepada pemindahan dan penyebaran ilmu melalui bidang pembangunan penyelidikan.
Katanya, CoSMoS menjadi antara agenda terbaik untuk akademia, penyelidik, agensi dan sebagainya berdiskusi dalam mencari penyelesaian kepada permasalahan setempat dan juga global melalui penggunaan teknologi terkini yang wujud di era Industri 4.0.
“USM sentiasa mengiktiraf segala usaha yang diterjemahkan khusus untuk memperkasa pembangunan ilmu dan penyelidikan dalam kalangan akademianya.
“Adalah amat diharapkan usaha Universiti ini sebagai sebuah Universiti perintis dalam penyelidikan transdisiplin bagi memperkasa bakat masa hadapan dan menggalakkan sosio-ekonomi golongan bottom billion dapat dijayakan dengan cemerlang di masa-masa akan datang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan CoSMoS 2019, sekaligus menandatangani memorandum perjanjian di antara USM dengan Thuyloi University, Vietnam di sini baru-baru ini. Hadir sama ialah Naib Presiden Thuyloi University, Profesor Madya Nguyen Canh Thai; dan Dekan Pusat Pengajian Sains Matematik, Profesor Dr. Hailiza Kamarulhaili@Harun.
CoSMoS 2019 dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Water Resource and Disaster Management (WARM), Vietnam; South East Asia Center of Unité de Modélisation Mathématique et Informatique des Systèmes Complexes (UMMISCO Perancis-Vietnam); The French Research Institute for Development (IRD) dan Thuyloi University, Vietnam.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 989