USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM MENJADI TUAN RUMAH PERSIDANGAN AKADEMIK KOREA-ASEAN

usmkorea

PULAU PINANG, 28 Jan 2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini amat berbangga kerana diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah bagi Persidangan Akademik Korea-ASEAN pada tahun ini yang dianjurkan oleh Korean Association of Southeast Asian Studies (KASEAS) dengan kerjasama ASEAN University Network (AUN).

Dalam persidangan kali ini, yang bertemakan “Non-Traditional Human Security and Securitization in East Asia: Regional Dynamics and National Differences”, tumpuan diberi kepada pelbagai isu yang berkaitan dengan keselamatan manusia yang semakin mendapat perhatian luas dalam kalangan akademik di Korea dan negara-negara ASEAN dalam usaha meningkatkan kerjasama serantau terutamanya dalam bidang mobiliti akademik dan pembangunan sumber manusia.

Dalam ucapan aluannya, Prof. Madya Dr. Nantana Gajaseni, pengarah Eksekutif AUN, berkata, “kami amat berharap hubungan dan kerjasama dua hala antara negara-negara ASEAN dan Korea yang sudah sekian lama wujud akan dieratkan lagi dengan adanya pertukaran pelajar, akademik dan cendekiawan yang lebih giat  di antara ASEAN dan Korea.”

“Untuk mencapai matlamat ini, perlu ada mekansime dan garis panduan yang lebih persis berhubung dengan isu keselamatan manusia ke arah memupuk persefahaman rentas budaya yang lebih baik antara penduduk kedua-dua rantau tersebut,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, Presiden KASEAS, Prof. Park Seung Woo, berharap persidangan ini dapat menjadi platform di mana masalah dan faktor risiko dalam isu keselamatan manusia bagi setiap negara di rantau ASEAN dapat dikenal pasti dan dibincang bersama, serta dicari penyelesaiannya.

Turut berucap ialah Timbalan Naib Canselor (Bahagian Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal yang mengalu-alukan kedatangan para peserta persidangan ini ke Pulau Pinang dan USM, serta mengharapkan kerjasama seumpama ini dapat terus dikekalkan dengan melibatkan penyertaan yang lebih aktif daripada USM.

Persidangan akademik Korea-ASEAN ini sebenarnya telah mula dianjurkan sejak penghujung 1990-an dan diadakan setiap dua tahun sekali.

Dalam pada itu, persidangan 2 hari ini yang dihoskan oleh USM melalui inisiatif Pejabat Perhubungan Antarabangsa, turut menyaksikan pembentangan 15 kertas kerja dan penyertaan hampir 50 peserta, yang terdiri daripada pakar dan tokoh akademik yang terkemuka dari negara-negara ASEAN dan Korea. – Teks: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 2127

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024