TERAPI SENI BANTU KANAK-KANAK YANG HADAPI MASALAH PEMBELAJARAN
KOTA BHARU, 4 April 2019 - Berkomunikasi dengan alam dan dizahirkan melalui lukisan merupakan satu terapi unik dalam membantu mereka yang menghadapi masalah kesihatan seperti kemurungan, masalah pembelajaran dan kesunyian.
Menurut Pensyarah Perubatan, Klinik Psikiatri, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Norzila Zakaria, kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran perlu diasah bakat mereka mengikut apa yang mereka minat.
"Pengalaman saya bersama pesakit kanak-kanak, kebanyakannya menghadapi masalah pembelajaran, namun setiap dari mereka mempunyai kelebihan dan kecenderungan dalam bidang yang lain seperti melukis, bermain muzik dah sebagainya.
"Kecenderungan sebegini yang perlu dipupuk dan disokong oleh ibu bapa bagi memastikan anak-anak mereka tidak ketinggalan dan bakat yang ada pada mereka jika diasah dengan baik, mampu dijadikan sebagai sumber pendapatan pada masa hadapan," ujar beliau yang ditemui di Pameran Lukisan dan Jualan Buku Amal 2019 baru-baru ini.
Menurut Norzila, seni ini boleh dijual dan disebabkan itulah Klinik Psikiatri Hospital USM dengan kerjasama Persatuan Pelukis Kelantan menganjurkan pameran tersebut bagi membuka mata masyarakat bahawa seni adalah terapeutik.
"Gabungan antara seni dan perubatan adalah salah satu terapi yang unik kerana ianya mampu menjadikan seseorang itu lebih teliti dalam menzahirkan visual ke bentuk lukisan."
Selain daripada itu, pameran dan jualan ini juga diadakan bertujuan mengutip dana yang mana sebanyak 15 peratus hasil jualan akan disumbangkan bagi membiayai penyediaan bilik permainan kanak-kanak di Klinik Psikiatri.
Selain lukisan oleh para pelukis terkenal negeri Kelantan, turut dipamerkan lukisan yang dihasilkan oleh kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Mohd Hafiz Ya'acob
- Created on .
- Hits: 1484