BUKU TERBITAN PENERBIT USM RANGKUL ANUGERAH BUKU NEGARA 2019
KUALA LUMPUR, 3 April 2019 – Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi berjaya mengharumkan nama universiti apabila sebuah buku terbitannya berjaya merangkul anugerah di majlis Anugerah Buku Negara 2019 anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.
Pensyarah dalam bidang kesusasteraan dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM Profesor Dato’ Dr. Sohaimi Abdul Aziz melalui penulisan bukunya yang bertajuk ‘Meremajakan Ghazal Parti: Warisan Persembahan Muzik Melayu’ dinobatkan penerima Anugerah Buku Umum Terbaik Kategori Muzik.
Sementara itu, buku berjudul ‘Etnoarkelogi Di Malaysia: Cerminan Budaya Material Masyarakat Peribumi’ hasil penyuntingan pensyarah daripada Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Dr. Nazarudiin Zainun dan pensyarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Dr. Nasha Rodzaidi Khaw turut meraih Anugerah Buku Umum Terbaik Kategori Prasejarah.
Sebanyak 86 anugerah meliputi pelbagai kategori telah disampaikan kepada para penerbit buku bagi mengiktiraf warga industri penerbitan buku di negara ini oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Khalid Abd Samad.
Anugerah Buku Negara diperkenalkan oleh YPBN bermula tahun 2005 ini diberikan kepada warga penggerak industri perbukuan negara. YPBN juga berperanan memajukan industri buku dan membina masyarakat berilmu melalui buku sama ada bercetak atau digital (e-book).
Teks: Syuhada Abd Aziz
- Created on .
- Hits: 1643