AGENDA KELESTARIAN PERINGKAT PENDIDIKAN TINGGI TERUS DIPERKASAKAN
NILAI, 27 Mac 2019 – Kelestarian adalah isu sejagat yang semakin diberi tumpuan masa kini. Ia berkait rapat dengan pelbagai sudut kehidupan manusia dan interaksi dengan persekitarannya.
Menyedari betapa perlunya pendedahan yang lebih menyeluruh diberi tentang konsep kelestarian ini, Pusat Kepakaran Serantau Pulau Pinang (RCE Penang) yang berpusat di Universiti Sains Malaysia (USM) telah bekerjasama dengan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) bagi menjalankan program berkaitan kepimpinan dan kelestarian untuk staf akademik dari institusi pendidikan tinggi (IPT) seluruh negara.
Secara umumnya, program tersebut bertujuan untuk memperkasakan peserta dalam membina sifat kepimpinan bagi memperkenal dan melaksanakan usaha pendidikan ke arah pembangunan lestari (Education for Sustainable Development/ESD) di peringkat pendidikan tinggi.
Ini antara lain dapat membantu pihak kepimpinan di peringkat pendidikan tinggi menerapkan unsur-unsur ESD ke dalam pelaksanaan kurikulum, usaha penyelidikan dan aktiviti jaringan masyarakat sedia ada.
Para peserta terdiri daripada staf akademik kanan dan ketua-ketua jabatan serta pengarah institusi pendidikan tinggi tempatan seperti UMS, UMK, UMT, UTM, UIAM, UTHM, UTAR, UCSI, OUM dan USM.
11 orang fasilitator dari pelbagai bidang ilmu berkaitan kelestarian yang diketuai oleh Profesor Dr. Munirah Ghazali selaku Pengarah RCE telah terlibat dalam sesi perkongsian dan perbincangan dengan para peserta di dalam sesi selama dua hari tersebut.
Program tersebut juga telah dihadiri oleh Timbalan Pengarah, Pusat Kelestarian Kepimpinan (Centre for Leadership Sustainability) AKEPT, Dr. Wan Nur Ibtisam Wan Ismail.
Beliau secara ringkas telah memberi penerangan berkaitan program yang dijalankan, serta halatuju seterusnya berkaitan ESD di peringkat pendidikan tinggi.
- Created on .
- Hits: 1162