KUSISDARI SAHUT CABARAN ‘SATU PELAJAR, SATU PASSPORT’
PULAU PINANG, 2 April 2019 – Penasihat Kumpulan Siswa Siswi Darul Ridzuan (KUSISDARI), Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya berkata konsep “Satu Pelajar, Satu Passport” adalah salah satu cara bagi meluaskan minda pelajar ke arah global serta mengangkat para pelajar dalam agenda pengantarabangsaan.
“Di samping itu juga, para pelajar dapat menimba pengalaman baharu dan membuka minda di peringkat global serta menganalisa dan menyesuaikan diri dengan suasana dan budaya masyarakat asing,” tambah Wan Ahmad Jaafar ketika mengulas program “Global Outreach to the Thammasat University” oleh 12 orang pemimpin pelajar dari KUSISDARI USM dan seorang pensyarah pengiring ke Thailand baru-baru ini.
Thammasat University adalah institusi di bawah payung Asia-Pacific University-Community Engagement Network (APUCEN) yang diterajui oleh USM. Thammasat University ini juga dipilih kerana ianya adalah university kedua terbaik di Thailand dan mempunyai ramai alumni yang menjadi pemimpin negara Thailand.
Menurut pengarah program, Nurul Shuhada Abdul Rahim, program ini sangat baik dan memberikan manfaat kepada semua pihak, termasuk pelajar dan universiti. Pelajar dapat menerokai ilmu pengetahuan dan pengalaman yang amat berharga di peringkat global.
“Melalui program sebegini juga, USM akan lebih dikenali di mata dunia di bawah agenda ‘Bringing USM to the World’,” kata Nurul Syuhada.
“Program ini secara tidak langsung membuka minda saya dan rakan-rakan lain tentang kecekapan pengurusan di universiti berkenaan yang teratur dan efisien seperti di perpustakaan,” tambahnya lagi.
“Kami juga memperkenalkan tarian kebangsaan, memperagakan baju tradisional dan permainan tradisional kepada para pelajar di sana dengan harapan bagi membuka minda pelajar di Thammasat University untuk mengenali dengan lebih dekat budaya Malaysia.
Teks dan Foto: KUSISDARI/Suntingan: Nor Rafizah Md Zain
- Created on .
- Hits: 1453