100 BUAH MOTOSIKAL SERTAI KONVOI AMAL 50 TAHUN USM
PULAU PINANG, 1 April 2019 – 100 buah jentera motosikal milik warga staf dan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) membanjiri dataran Masjid Al-Malik Khalid USM sempena majlis pelepasan konvoi amal meraikan sambutan 50 tahun USM.
Konvoi amal selama tiga hari dua malam itu akan bergerak dari Kampus Induk Pulau Pinang ke Institut Perubatan & Pergigian Termaju (IPPT) di Bertam, kemudian ke pantai timur dan berhenti bermalam di Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, Kelantan; dari situ konvoi bergerak ke USM Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal dan seterusnya kembali semula ke USM Kampus Induk.
Perasmian dan pelepasan konvoi telah dilaksanakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail yang turut hadir memberi sokongan kepada program ini bersama pegawai-pegawai utama universiti yang lain.
Berucap sebelum pelepasan, Naib Canselor mengharapkan konvoi yang diadakan ini mencapai objektif yang diharapkan selain melakar sejarah bagi USM berjaya menyatukan semua warga dan semua kampus USM melalui program amal dan sumbangan untuk membela golongan keterbawah dan kurang upaya.
“Pastinya kejayaan yang besar kepada universiti tidak akan tercapai dalam sekelip mata tanpa adanya pasukan yang hebat. Justeru konvoi amal menjadi satu contoh bagaimana USM bekerja bersama-sama untuk menghubungkan kesemua kampus, iaitu Kampus Induk, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Kampus Kesihatan dan Kampus Kejuruteraan, selain menjalinkan hubungan ukhuwah dalam kalangan pelajar, staf, dan juga warga kesemua kampus,” katanya lagi.
Pada konvoi tersebut, peserta akan turut melawat Rumah Anak Yatim Abu Nur, Pengkalan Hulu yang juga rumah angkat kepada Pusat Islam USM, dan seterusnya ke Kampus Kesihatan untuk program-program amal antaranya menziarah pesakit OKU dan asnaf di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) termasuklah menyampaikan sumbangan amal kit Maidaturrahman kepada yang terpilih.
Yang turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pengerusi Jawatankuasa Sambutan 50 Tahun USM, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein; Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria; Pendaftar USM, Dr. Musa Ali; Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Kerjaya, & Kebolehpasaran Graduan, Dr. Norazharuddin Shah Abdullah selaku penaja utama Konvoi Amal 50 tahun USM dan Pengarah Pusat Islam USM, Tuan Haji Mohammad Shukri Osman.
- Created on .
- Hits: 1470