KERAJAAN NEGERI KOMITED BANGUNKAN PRASARANA PENDIDIKAN
PULAU PINANG, 1 April 2019 – “Kerajaan negeri amat komited dalam membangunkan prasarana terutamanya dalam bidang pendidikan dan memantapkan lagi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” kata Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Profesor Dr. Ramasamy Palanisamy ketika merasmikan Ekspo Kerjaya dan Pendidikan (EKSPEN) 2019 di Dewan Utama Pelajar, Universiti Sains Malaysia (USM), baru-baru ini.
Tambah beliau, penganjuran EKSPEN ini sangat bertepatan dengan hala tuju bidang pendidikan di negeri Pulau Pinang.
“Saya berbangga dapat bekerjasama dengan USM, dan mengucapkan tahniah kepada syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dan berharap mereka dapat memberikan input yang berguna kepada bakal graduan serta peluang-peluang kerjaya yang bersesuaian,” tambah Ramasamy.
Menurut Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan USM, Dr. Norazharuddin Shah Abdullah yang mewakili Naib Canselor USM, EKSPEN adalah satu platform untuk mengetengahkan keperluan kerjaya kepada bakal siswazah.
“Selain itu, EKSPEN juga dapat merapatkan entiti yang menyediakan peluang-peluang kerjaya dengan USM yang juga pembekal bakat graduan dengan kualiti seperti Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate dan Thinking atau H.E.B.A.T.,” kata Norazharuddin.
Katanya lagi, EKSPEN juga adalah platform untuk menonjolkan bakat kepimpinan pelajar dalam penganjuran program untuk pelajar selaras dengan moto USM, Kami Memimpin.
“Saya bagi pihak USM ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penaja terutamanya penaja Platinum iaitu Nestle, penaja Emas Boston Scientific dan penaja Perak, protégé serta semua yang telah banyak menyumbang kewangan dan keringat bagi menjayakan EKSPEN 2019,” tambahnya lagi.
EKSPEN 2019 diterajui oleh Pengarah Projek, Saudari Kok Jing Yi @ Jenny dengan tema ‘Memimpin Graduan ke Arah Kerjaya Terkemuka’ atau ‘Leading Graduates Toward Leading Careers’.
Sebanyak 60 buah syarikat dan institusi menyertai EKSPEN 2019 yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 30-31 Mac 2019 yang lalu.
Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dr. Hari Narayanan P. Ondiveeran.
Teks: Nor Rafizah Md. Zain
- Created on .
- Hits: 1058