MAHASISWA USM KUTIP WANG BANTU RAKYAT GAZA DAN SYRIA
USM, PULAU PINANG, 31 Mac 2019 – Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mengutip wang berjumlah lebih RM5,000 untuk diberikan kepada Mercy Malaysia bagi menyalurkan sumbangan kepada rakyat Gaza dan Syria.
Kutipan sepenuhnya oleh mahasiswa sendiri di bawah Majlis Penghuni Desasiswa USM menunjukkan keprihatinan dan tanggungjawab mahasiswa USM yang amat merasai kesan kezaliman dan penindasan terhadap negara terbabit.
Menurut Pengerusi Majlis Penggawa Desasiswa USM, Shafie Ariffin, sumbangan yang dikumpul oleh setiap pelajar dari seluruh desasiswa USM ini merupakan satu sokongan padu bersama-sama Mercy Malaysia bagi membantu rakyat Gaza dan Syria yang amat memerlukan segenap aspek bantuan kehidupan.
“Sesungguhnya mahasiswa USM dapat menghayati apa yang dihasratkan oleh universiti iaitu menerapkan nilai-nilai H.E.B.A.T. (Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate, Thinking) yang wajar ada pada setiap jati diri mahasiswa itu sendiri.
“Justeru itu, sumbangan mahasiswa ini menunjukkan mereka bukan hanya datang untuk belajar malah sentiasa menyalurkan idea, tenaga dan wang ringgit untuk golongan yang memerlukan,” katanya ketika berucap di malam “Night of Hope” dan penyampaian mock cheque berjumlah RM5,000 kepada Mercy Malaysia di Padang Kawad USM.
Katanya lagi, USM sentiasa bersedia menyumbang khidmat bakti dan keringat bersama-sama badan-badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini bagi tujuan membantu komuniti-komuniti yang memerlukan, dan ini dapat dilihat dari usaha ikhlas dan bersungguh-sungguh mahasiswa USM setiap desasiswa yang bersedia untuk turun padang menyalurkan bantuan.
Pada majlis yang sama, Naib Presiden 2 Mercy Malaysia, Datin Raja Riza Shazmin Raja Badrul Shah yang turut hadir ke majlis tersebut berkata, Mercy Malaysia amat berbangga kerana seramai 20 orang mahasiswa USM telah terpilih dan dilantik sebagai sukarelawan rasmi Mercy Malaysia.
“Saya amat berbangga dengan penglibatan mahasiswa USM yang walaupun sibuk dengan aktiviti pembelajaran dan kokurikulum, mereka sanggup untuk berkhidmat secara sukarela membantu dan menyumbang khidmat bersama-sama Mercy Malaysia,” katanya.
Beliau amat berharap mahasiswa USM sentiasa berganding bahu tidak mengira agama dan bangsa untuk bersama-sama menyokong Mercy Malaysia melaksanakan program-program bantuan komuniti di negara-negara miskin dan tertindas.
Penggawa-Penggawa Desasiswa turut hadir memberi sokongan kepada mahasiswa USM yang membanjiri Padang Kawad USM serta bersama-sama menyalakan lilin sebagai simbolik usaha mengembalikan sinar keamanan dan keadilan buat Gaza dan Syria.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1435