STAF USM TAWAN PUNCAK GUNUNG TAHAN SEMPENA SAMBUTAN 50 TAHUN USM
PAHANG, Mac 2019 – Sekumpulan staf Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menawan Gunung Tahan, puncak gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia, sebagai simbolik kepada sambutan ulangtahun ke-50 USM baru-baru ini.
Mereka yang terdiri daripada 12 staf dari Kampus Kejuruteraan dan 14 orang dari Kampus Kesihatan USM serta dua orang alumni USM memulakan ekspedisi ini yang diketuai oleh Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Madya Dr. Mohamad Hekarl Uzir.
Katanya, ekspedisi ini merupakan program pertama yang diadakan bersama oleh kedua-dua kampus USM itu sempena sambutan 50 tahun USM pada tahun ini.
“Perjalanan mendaki Gunung Tahan ini mengambil masa selama tujuh hari bermula dari Kuala Tahan dan berakhir di Merapoh.
Laluan yang dilalui oleh kumpulan kami termasuklah laluan Sungai Relau, dan kawasan berbukit bukau yang mencabar sepanjang 90 kilometer,” jelasnya lagi.
Perjalanan mereka turut ditemani oleh tiga orang malim gunung yang banyak membantu dalam ekspedisi ini sambil meneroka keindahan hutan dan laluan yang agak mencabar serta kedinginan suhu di puncak gunung tersebut.
Kumpulan ekspedisi itu tiba di puncak gunung pada hari kelima dan berjaya mengibarkan bendera USM setelah mengharungi pelbagai cabaran dan halangan sebelum meneruskan perjalanan menuruni gunung pada keesokan harinya.
Kata Hekarl, perjalanan mereka meneroka Gunung Tahan ini boleh diibaratkan seperti USM mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan dalam tempoh 50 tahun sejak ia ditubuhkan pada tahun 1969 sehingga boleh berada di tahap sekarang.
Kesungguhan, kebersamaan dan perancangan yang baik adalah penting untuk memastikan kejayaan dalam usaha yang dilakukan, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
Harapannya supaya USM akan terus maju dan cemerlang dengan mottonya ‘Kami Memimpin’ untuk 50 tahun yang akan datang.
Terjemahan: Syuhada Abd. Aziz/Foto: Pendaki Gunung Tahan
- Created on .
- Hits: 1862