VARIASI WARNA KEBUDAYAAN 3.0 CETUS KESEDARAN RUKUN NEGARA
USM, PULAU PINANG, 27 Mac 2019 – Variasi Warna Kebudayaan 3.0 mencetuskan kesedaran kepada mahasiswa betapa pentingnya Rukun Negara sebagai asas pembangunan dan perpaduan negara.
Timbalan Pendaftar Kanan Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni Universiti Sains Malaysia (USM), Mohamad Abdullah berkata, penganjuran program ini bukan sahaja memberi kesedaran mengenai penghayatan Rukun Negara malah memberi kefahaman jelas bahawa Rukun Negara adalah tunjang utama negara kita yang perlu ditaati oleh setiap warganegara Malaysia.
"Malaysia mempunyai pelbagai bangsa, etnik dan budaya, jadi raikanlah keunikan yang dimiliki di negara ini dan atas sebab itulah prinsip Rukun Negara harus diikuti," katanya.
Jelasnya lagi, golongan muda kini semakin ramai yang buta sejarah dan buta budaya yang menjadikan mereka menanam sifat kebencian dan cuba memporak perandakan keamanan yang dikecapi negara ini.
"Atas sebab itulah ramai dalam kalangan golongan ini menyalahgunakan media sosial untuk membangkitkan api kemarahan kaum dan agama yang akhirnya memberi kesan buruk kepada negara ini," katanya ketika merasmikan Malam Variasi Warna Kebudayaan 3.0 yang diadakan di Dewan Budaya USM.
Tambahnya lagi, rakyat Malaysia terutamanya mahasiswa perlulah menggunakan kebijaksanaan untuk tidak melakukan perkara yang menggugat keamanan negara apatah lagi mengambil iktibar apa yang terjadi baru-baru ini di New Zealand.
Program anjuran Sekretariat Rukun Negara USM yang disertai mahasiswa USM pelbagai kaum ini buat kali ketiga dianjurkan bertemakan Hikayat Malaysia menampilkan pertandingan persembahan kebudayaan oleh mahasiswa USM berbilang bangsa.
Yang turut hadir adalah Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Pulau Pinang, Othman Saad; wakil Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Noorizah Ibrahim; Yang Dipertua Sekretariat Rukun Negara USM sidang 2018/2019, Yeow Cher Yuin; dan Pengarah Projek Variasi Warna Kebudayaan 3.0, Yong Wan Chen.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1391