USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM PERUBATAN USM-KLE IMP TERIMA PENGIKTIRAFAN MCI

EAM 4736 edited

PULAU PINANG, 29 Mac 2019 – Universiti Sains Malaysia (USM) adalah universiti tempatan awam pertama yang telah diiktiraf oleh Majlis Perubatan India atau Medical Council of India (MCI) sekaligus menjadikan program perubatan USM bertaraf antarabangsa serta memudahkan pelajarnya menembusi pasaran kerja global sebagai pengamal perubatan. 

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, pengiktirafan ini telah diterima pada pertengahan 2018 dan ianya adalah pengiktirafan kedua setelah  pengiktirafan terdahulu diberikan oleh Majlis Perubatan Maldives atau Maldives Medical Council.

“Pada tahun ini, USM menyambut ulang tahun ke-10 kolaborasi bersama dengan kumpulan Karnataka Lingayat Education (KLE) Society, salah satu peneraju universiti bagi pengajian perubatan di India dan membentuk Program Perubatan Antarabangsa USM-KLE melalui Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM,” tambah Naib Canselor dalam satu sidang media khas bagi meraikan kejayaan ini. 

Pengiktirafan ini sekaligus meningkatkan reputasi graduan perubatan USM dari India untuk berkhidmat sebagai doktor perubatan di peringkat antarabangsa. 

Program pengajian perubatan selama lima tahun ini adalah unik di Malaysia dan juga India, kerana ia ditawarkan oleh USM tetapi dilaksanakan sepenuhnya di kampus “pesisir” di Belgaum yang terletak di Karnataka, India Selatan. 

“Program ini dilaksanakan dengan menggunakan tenaga pengajar, prasarana hospital serta pesakit di India, tetapi di bawah penyeliaan, penilaian dan pemantauan pihak USM serta Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). 

“Oleh itu, pelajar program perubatan Malaysia akan mendapat manfaat dari dua negara ini - ijazah perubatan yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia beserta kemudahan fakulti perubatan dan klinikal terbaik dari kumpulan perubatan universiti di India,” tambahnya. 

“USM dan KLE juga bakal mengembangkan kerjasama ini melalui beberapa inisiatif baharu iaitu memperluaskan kemasukan bagi ijazah perubatan kepada para pelajar antarabangsa seramai 10-20 orang setahun serta memperkenalkan program ijazah perubatan dan pergigian pasca-siswazah (penyelidikan atau mod campuran),” kata Naib Canselor yang turut ditemani Pengarah USM-KLE IMP, Belgaum India, Dr. H.B. Rajashekar dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah. 

Program Perubatan Antarabangsa USM-KLE ini diiktiraf oleh Majlis Perubatan Malaysia (Malaysian Medical Council) dengan akreditasi penuh dari MQA selama lima tahun bermula April 2018; dan adalah di antara segelintir kecil program pengajian perubatan yang telah memperolehi akreditasi penuh selama lima tahun berdasarkan penawaran cemerlang pengajian di bidang perubatan.

Turut hadir ialah Dekan PPSP, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail dan Timbalan Dekan, USM-KLE IMP, Profesor Dr. Kamarudin Jaalan serta empat alumni program USM-KLE IMP.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 2700

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024