USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CUACA PANAS, AWASI STROK HABA

PULAU PINANG, Mac 2019 – Malaysia mengalami pemanasan global atau fenomena ekuinoks dua kali setiap tahun pada bulan Mac dan September. Pada ketika itu matahari akan berada tepat di atas garisan Khatulistiwa dengan suhu paling panas terutama pada pukul 12 tengah hari sehingga 3 petang.

Memetik laporan Harian Metro, sepanjang tempoh tinjauan Mac hingga Ogos ini, keadaan cuaca di negara ini dipengaruhi tiga fasa monsun iaitu monsun Timur Laut (Mac), peralihan monsun (April) dan monsun Barat Daya (Mei-Ogos).

Keadaan ini boleh menyebabkan bacaan suhu di negeri utara dan tengah Semenanjung Malaysia meningkat kerana cenderung untuk mengalami cuaca lebih panas dan kering berbanding negeri lain.

Rentetan dari keadaan suhu yang tinggi, kita boleh terdedah kepada strok haba atau ‘heat stroke’ iaitu paras suhu badan meningkat melebihi 40.5 darjah Celsius. Suhu badan individu yang normal ialah 37 darjah Celsius.

Pengarah Pusat Sejahtera Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Normala Abdul Wahid berkata, strok haba ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja terutama kepada mereka yang terdedah kepada aktiviti luar.

Katanya lagi, sebagai langkah berjaga-jaga, warga kampus perlulah menambah ilmu mengenai gejala awal strok haba sebelum keadaan menjadi lebih serius.

Tanda awal strok haba:

  • Sakit kepala berdenyut
  • Mual
  • Kurang berpeluh walaupun dalam suhu panas
  • Kulit kering dan kemerahan
  • Sawan
  • Pitam 

Dr. Normala turut menasihati warga kampus supaya mengurangkan aktiviti luar semasa cuaca panas dan banyakkan minum air terutama kepada mereka yang terdedah kepada persekitaran yang panas.

“Pelajar khususnya sentiasalah membawa bekalan air ketika berada di luar supaya tubuh badan tidak mengalami dehidrasi yang boleh mengakibatkan strok haba,” tambahnya.

Selain itu,  warga USM perlu mengelakkan daripada melakukan senaman fizikal yang melampau terutama kepada pelajar-pelajar yang terlibat dengan aktiviti kokurikulum badan beruniform.

“Sebolehnya, pelajar yang terlibat dengan aktiviti di luar ini memulakan sedikit lewat yang mana keadaan cuaca tidak panas terik selain boleh mengehadkan aktiviti di padang kawad, yang mana risiko untuk kena strok haba adalah lebih tinggi berbanding di kawasan padang berumput,” jelasnya lagi.

Dr. Normala turut mencadangkan beberapa tips pencegahan strok haba:

  • Elakkan aktiviti riadah yang terdedah kepada cuaca panas;
  • Pakai pakaian yang diperbuat dari 100% kapas kerana bahan itu membenarkan penyejatan peluh yang maksimum;
  • Elakkan berjalan atau lakukan aktiviti di atas permukaan panas seperti simen dan bitumen;
  • Elakkan aktiviti riadah yang terdedah kepada cuaca panas terutama di waktu puncak jam 11 pagi hingga 3 petang;
  • Banyakkan minum air sebelum, semasa dan selepas bersenam walaupun anda tidak berasa dahaga;
  • Jika simptom masih belum pulih dan makin teruk, dapatkan rawatan di hospital atau pusat kesihatan berhampiran. 

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1851

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024