KEMALANGAN DI GRIK: PENGURUSAN TERTINGGI UCAP TAKZIAH DAN USAHA BANTU MANGSA
PULAU PINANG, 23 Mac 2019 – Profesor Dr. Aldrin Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) mewakili pengurusan tertinggi universiti menzahirkan rasa dukacita yang teramat dan sedih dengan kemalangan yang berlaku di Grik, Perak hari ini.
Kenderaan yang membawa 8 orang pelajar dan 2 pemandu itu dalam perjalanan balik ke Kampus Kesihatan Kelantan dari Kampus Induk, Pulau Pinang selepas selesai menjalani Latihan Tempatan PALAPES USM.
Mereka yang selamat dibawa untuk menerima rawatan di Hospital. Pihak universiti akan melakukan apa yang boleh untuk membantu mangsa-mangsa.
Pada masa ini pelbagai pihak di USM termasuk staf dari Kampus Induk dan Kampus Kesihatan bersama-sama pelajar dari Majlis Perwakilan Pelajar USM (MPPUSM) turut digerakkan untuk ikut membantu dan menziarahi mangsa. Ini termasuk juga para kaunselor USM yang membantu mangsa dengan kejadian tersebut.
Tambahnya lagi, pihak Universiti akan melihat hal ini dengan teliti untuk mengetahui punca sebenar kejadian.
"Marilah kita sama-sama berdoa agar semua mangsa dilindungi Allah SWT dan sedekahkan Alfatihah kepada pemandu yang meninggal dunia.
"Kami juga merakamkan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga pemandu yang terlibat," kata beliau.
Akhbar melaporkan kejadian sekitar jam 5.15 petang tadi berlaku di Jalan Grik-Kupang ketika dalam perjalanan pulang ke Kampus Kesihatan USM setelah menjalani aktiviti pelajar di Kampus Induk USM.
Pemandu kenderaan berkenaan dilaporkan maut di tempat kejadian manakala mangsa lain dikejarkan di Hospital Grik untuk rawatan. Semua mangsa yang cedera dilaporkan berada dalam keadaan stabil sehingga kini.
- Created on .
- Hits: 1369