USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NC LANCAR WOMEN IN RESEARCH SEMPENA SAMBUTAN 50 TAHUN USM

DSC 6973

USM, PULAU PINANG, 19 Mac 2019 – Bersempena sambutan 50 tahun Universiti Sains Malaysia (USM) sepanjang tahun ini, Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA) USM bakal meraikan wanita yang telah banyak menyumbang dalam pembangunan dan kejayaan USM ini dengan penganjuran Women in Research (WIR).  

WIR bakal memaparkan kisah kejayaan wanita yang telah banyak menyumbang dalam penyelidikan dan juga pembangunan bidang pelajaran dan pembelajaran serta ikon-ikon terkenal sepanjang penubuhan USM 50 tahun lalu iaitu sejak tahun 1969.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail melancarkan program tersebut di majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia peringkat USM baru-baru ini.

Tema sambutan Hari Wanita Sedunia pada tahun ini ialah “Balance for Better: Think Equal, Build Smart, Innovate for Change.” 

Pelbagai program dilaksanakan oleh KANITA pada tahun ini termasuk pertandingan 3-Minute Speech, Women’s Science Communicator, Open Microphone, nyanyian lagu wanita dan Men’s Talk session yang turut menjemput suami Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Zakaria sebagai panelis.  

"Terima kasih dan tahniah kepada KANITA dan semua rakan kolaborasi termasuk Pusat Pengajian Sains Farmasi dan Persatuan Sains Farmasi USM, Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC), Dewan Budaya dan Majlis Perwakilan Pelajar USM (MPPUSM) yang telah berjaya menganjurkan pelbagai acara sempena Hari Wanita pada tahun ini,” kata Naib Canselor. 

DSC 6961

Menurut Pengarah KANITA, Profesor Dr. Noraida Endut, sambutan Hari Wanita Sedunia pada kali ini disambut berbeza dengan penganjuran beberapa inisiatif baharu serta mendapat sambutan yang menggalakkan. 

Turut disampaikan hadiah kepada para pemenang bagi pertandingan 3-Minute Speech, dan Women’s Science Communicator. 

Pada majlis yang sama, satu forum diadakan serta membariskan wanita-wanita hebat iaitu mantan pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi, Dr. Hamima Dona Mustafa; wakil pentadbir iaitu dari Pusat Perhubungan Alumni, Kerjaya & Kebolehpasaran Graduan, Chew Mun Wai; alumni USM Dr. Vimaleswary A/P Ramasamy; pensyarah dan pemenang Famelab International 2018, Dr. Siti Khayriyyah Mohd Hanafiah serta Dekan Pusat Pengajian Sains Komputer, Profesor Dr. Rosni Abdullah sebagai moderator. 

Teks: Nor Rafizah Md Zain 

  • Created on .
  • Hits: 1764

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024