MAHASISWA ASET BERHARGA NEGARA
USM, PULAU PINANG, 17 Mac 2018 – Mahasiswa universiti merupakan aset yang amat berharga buat negara bagi membentuk sistem pentadbiran dan urus tadbir negara yang baik pada masa akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Tengah negeri Pulau Pinang, Gooi Hsiao-Leung berkata adalah menjadi tanggungjawab mahasiswa yang berintelektual mengenalpasti hala tuju negara kerana corak pemerintahan dan masa hadapan negara terletak di tangan mahasiswa yang bakal memimpin suatu hari nanti.
“Anda semua memainkan peranan penting untuk negara dan masa hadapan negara ini terletak di tangan anda kerana pendidikan dan pemikiran anda bakal mencetus perubahan dan kemajuan Malaysia ke tahap yang lebih membanggakan,” katanya ketika merasmikan Sambutan Pesta Amal Tahun Baru Cina ke-13 Universiti Sains Malaysia (USM) yang diadakan di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) di sini malam kelmarin.
Bercakap di hadapan kira-kira 2,000 orang yang hadir membanjiri Dewan bagi menyaksikan kemeriahan sambutan pesta tersebut, beliau turut berbangga dengan komitmen dan kejayaan mahasiswa USM yang seringkali mendapat liputan dalam pelbagai perkara membabitkan akademik dan bukan akademik serta penganjuran majlis berimpak tinggi.
“Gunakan masa sepanjang pengajian di universiti sebaik mungkin, kerana bukan semua diberi kesempatan untuk merasai nikmat dan kelebihan menuntut di universiti, lebih-lebih lagi peranan besar menanti anda selepas tamat dari pengajian nanti,” katanya lagi.
Pada majlis yang sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah turut berharap pelajar berbilang kaum di USM dapat memanfaatkan setiap hari keraian bersama untuk saling menyokong bagi mengukuhkan perpaduan dan kerjasama antara mereka.
“Saya percaya program tahunan anjuran Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Tionghua (SKKT) USM ini memupuk semangat persefahaman dan mengukuhkan perpaduan yang kita nikmati selama ini di tanahair kita yang tercinta ini.
“Saya juga berharap pelajar-pelajar dari universiti lain yang dijemput khas dan juga pelajar-pelajar antarabangsa yang berada di dalam kampus dapat meraikan perayaan ini bersama-sama dengan pelajar tempatan, serta mengamati kepelbagaian kebudayaan yang terdapat di dalam kampus,” katanya ketika mewakili Naib Canselor USM ke majlis sambutan tersebut.
Katanya lagi, ia juga menyahut hasrat universiti untuk melahirkan graduan yang mempunyai ciri HEBAT (Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate & Thinking) dalam usaha melahirkan mahasiswa USM yang berfikir serta mempunyai ciri kepimpinan dan kesukarelawanan yang tinggi.
Pesta Amal Tahun Baru Cina ke-13 USM kali ini berjaya mengumpul dana berjumlah RM8,888 bagi membantu Sekolah Kekurangan Murid (SKM) iaitu SJK (C) Tar Thong Balik Pulau, Pulau Pinang menambah baik fasiliti sekolah tersebut di samping meningkatkan kualiti tempat pembelajaran mereka.
Yang turut hadir adalah, Ketua Pegawai Kebudayaan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM merangkap Penasihat SKKT USM, Zulkifli Che Hussin; Yang Dipertua SKKT USM, Wong Jun Huan; Pengarah Projek, Pesta Amal Tahun Baru Cina ke-13 USM, Hooi Jing Peng dan Penaja Utama Pesta Amal, Ng Ah Leng.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1847