USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MALAM BUMI KENYALANG MERIAH SEKALI RAIKAN ANAK-ANAK SARAWAK

USM, PULAU PINANG, 16 Mac 2019 – Kemeriahan Malam Bumi Kenyalang 2019 dirasai  hampir 2,000 orang pelajar yang membanjiri Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) Universiti Sains Malaysia (USM) bagi menyaksikan pertandingan tradisional etnik negeri Sarawak antara Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

Para pelajar mula berkumpul seawal jam 6.30 petang untuk memasuki dewan menyaksikan pertandingan yang saban tahun diadakan bagi meraikan anak-anak Sarawak yang menuntut di institut-institut pengajian tinggi awam di Semenanjung tanah air.

Bertemakan ‘The Colours of Life’, program tahun ini menyaksikan sejumlah lapan IPTA bertanding bagi merebut kejuaraan Malam Bumi Kenyalang 2019 anjuran Perkumpulan Anak-Anak Sarawak (PERKASA) USM.

Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan tuan rumah USM menjadi sandaran tahun ini bertanding merebut kejuaraan.

Pengarah Pusat Keusahawanan Universiti, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), USM, Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob berkata, majlis seumpama ini bukan hanya diraikan oleh pelajar-pelajar dari Sarawak malah turut diraikan oleh semua pelajar dari negeri-negeri lain bagi menunjukkan sokongan sepenuhnya Malam Bumi Kenyalang ini.

“Perpaduan di negara ini harus menjadi tunjang utama kepada pembangunan sahsiah pelajar bukan sahaja di USM malah seluruh IPTA agar silaturrahim sentiasa dikekalkan termasuk saling bantu membantu dan saling mengenal warisan budaya berbilang kaum dan etnik yang hidup secara harmoni di negara kita ini,” katanya ketika majlis perasmian Malam Bumi Kenyalang 2019 di sini malam tadi.

Kejuaraan kali ini telah disandang oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan membawa pulang piala pusingan dan wang tunai RM1,000, USM pula di tempat kedua menerima piala dan wang bernilai RM700 dan tempat ketiga dirangkul oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima piala dan wang bernilai RM500.

Yang turut hadir adalah Timbalan Pendaftar Kanan, BHEPA USM, Mohamad Abdullah; Penasihat PERKASA, Fadzilla Bosman; Pengarah Projek Malam Bumi Kenyalang 2019, Esther anak Lamark dan pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 972

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024