USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JOM MASUK IPT 2019 ZON UTARA DI USM CATAT REKOD PENGUNJUNG PALING RAMAI 74,458

fgfbh

USM PULAU PINANG, 13 Mac 2019 – Karnival Jom Masuk IPT 2019 Zon Utara yang berlangsung di Padang Kawad Universiti Sains Malaysia (USM) dari 9 - 10 Mac 2019 telah melabuhkan tirainya Ahad lalu dengan mencatatkan kejayaan yang luar biasa iaitu bilangan pengunjung paling ramai sebanyak 74,458.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Karnival, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, jumlah pengunjung rasmi untuk hari pertama adalah 39,080 dan pada hari kedua adalah 35,378, menjadikan jumlah keseluruhan pengunjung bagi dua hari berlangsungnya karnival itu sebanyak 74,458. 

“Jumlah ini memang tidak dijangkakan kerana sasaran asal yang ditetapkan adalah 40,000 pengunjung bagi Zon Utara yang meliputi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara, namun Alhamdulillah karnival kali ini berjaya menarik kunjungan berpuluh-puluh ribu pelajar sekolah dari negeri-negeri berkenaan.    

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada semua pihak yang membantu secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini termasuk warga staf dan pelajar USM yang membentuk sebahagian daripada jawatankuasa pelaksanaan dan kerja serta agensi-agensi luar yang terlibat,” katanya.    

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail turut merakamkan ucapan terima kasih dan syabas kepada seluruh warga staf yang terlibat dalam menjayakan karnival tahun ini, dan juga pelajar-pelajar sukarelawan dan pasukan badan beruniform yang meluangkan masa pada hujung minggu untuk membantu melicinkan perjalanan karnival ini.

“Sekali lagi ia membuktikan bahawa keakraban hubungan kerja, semangat bekerja berpasukan dan dedikasi dalam kalangan staf dan pelajar USM ke arah mencapai matlamat yang sama telah membuahkan hasil yang berimpak tinggi.

“Inilah formula rahsia USM yang membolehkan sesuatu program itu direalisasikan dengan jayanya mengikut gaya USM – Doing it #USMstyle,” tambah Asma.

Karnival Jom Masuk IPT anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini bertujuan untuk memberi peluang kepada orang ramai – lepasan SPM, STPM, Matrikulasi, Diploma, pengetua sekolah, guru, guru kaunseling, ibu bapa, pemimpin pelajar dan masyarakat setempat – bagi mendapatkan maklumat terperinci berkaitan program/rancangan pengajian yang ditawarkan di Universiti Awam (UA), Universiti Swasta, Kolej Komuniti, Politeknik dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) seluruh negara.

Sebagai rekod, tahun ini merupakan kali ke-9 USM menjadi Urus Setia bersama bagi Karnival Jom Masuk IPT sejak ia pertama kali dianjurkan pada tahun 2005.

Teks: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 1413

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024