USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CAREER FAIR 2019: PENGANJUR TERIMA MAKLUM BALAS POSITIF PENGUNJUNG

IMG 0053

NIBONG TEBAL, 15 Mac 2019 – Penganjur Career Fair (CF) 2019 iaitu para pelajar di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) yang diketuai oleh Saudara Eng Lye Yee menerima pelbagai maklum balas positif dari pempamer serta pengunjung dari dalam dan luar USM. 

Antara reaksi yang diterima ialah para pelajar USM adalah sangat mengikuti perkembangan semasa dalam pelbagai bidang dan tidak tertumpu dalam bidang kejuruteraan sahaja serta mempunyai kemahiran berkomunikasi dengan baik.


IMG 0054

Sokongan dan komitmen yang diberikan oleh lebih 60 buah syarikat yang terlibat telah membuka ruang kepada pelajar dan pengunjung yang hadir untuk lebih mengetahui akan matlamat serta kehendak industri pada masa ini. 

Hal tersebut telah dinyatakan oleh Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dr. Hari Narayanan P. Ondiveeran ketika merasmikan program tahunan Kampus Kejuruteraan tersebut di sini baru-baru ini.

“Saya yakin bahawa selain daripada pelajar, para pengunjung dari luar USM turut didedahkan dengan peluang-peluang yang disediakan di samping dapat maklumat berkaitan kerjaya yang sesuai daripada syarikat-syarikat yang turut serta sepanjang program ini berlangsung,” kata Hari Narayanan.

IMG 0071

Career Fair adalah acara tahunan yang dianjurkan sejak tahun 2007 oleh jawatankuasa yang dipimpin oleh pelajar Kampus Kejuruteraan USM di bawah seliaan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Kampus Kejuruteraan.

Hari Narayanan dalam ucapannya turut menggesa agar setiap pengunjung yang hadir untuk tidak terlalu fokus kepada kemahiran dan ilmu pengetahuan semata-mata ke arah kemajuan kerjaya masing-masing namun harus menitikberatkan juga nilai-nilai yang baik.

“Adalah normal apabila semua orang mengejar peluang keemasan yang dijadikan sebagai ganjaran atas kerja keras mereka dalam mendapatkan segulung ijazah.

IMG 0105

“Oleh itu, untuk menjadikan kita berbeza dan menyerlah, nilai-nilai murni perlu diterapkan di dalam diri setiap individu dan dijadikan kunci kejayaan masing-masing kelak,” tambah Hari Narayanan.

“Selain itu, pihak USM juga ingin merakamkan terima kasih kepada semua penyumbang dana yang melicinkan penganjuran CF 2019 ini termasuk penyumbang Platinum, Western Digital dan Micron Semiconductor (M) Sdn. Bhd. serta penyumbang-penyumbang Emas, Perak dan Gangsa,” kata beliau.

Syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam CF 2019 tahun ini tidak hanya datang dari kawasan perindustrian di Prai dan Bayan Lepas, Pulau Pinang malah ada juga yang datang dari Johor, Kuala Lumpur dan negeri-negeri lain. 

Selain daripada menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka yang hadir serta penempatan latihan industri kepada pelajar yang sedang menyambung pengajian, beberapa siri ceramah pra program berkaitan kerjaya turut diadakan oleh wakil-wakil industri termasuklah Bengkel Penulisan Resume dan juga sesi temuduga.

IMG 0124

Pameran pada tahun ini telah menarik minat lebih kurang 3,500 pengunjung yang hadir sepanjang dua hari program ini diadakan iaitu pada 13 hingga 14 Mac lalu.

Turut hadir di majlis perasmian CF 2019 adalah Pemangku Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Taksiah A. Majid; Naib Presiden Kejuruteraan, Western Digital, Hem Takiar dan Pengarah Urusan Tapak, Micron Semiconductor (M) Sdn. Bhd., Ramu Iyer.

Teks: Siti Faizah Abdul Halim/Suntingan: Nor Rafizah Md. Zain/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1294

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024