USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IMPLAN KOKLEA BERI KEHIDUPAN BAHARU

USM KUBANG KERIAN, 7 Mac 2019 – Melahirkan seorang anak yang comel dan cukup sihat merupakan impian setiap pasangan. Namun adakalanya mereka diuji dengan kecacatan semasa lahir, sakit yang kronik selepas kelahiran atau dalam proses tumbesaran.

Itulah pengalaman yang dirasai oleh pasangan Tan Lian Chern (ibu), 34 dan Kang Chin Tiong (ayah), 35 dari Bachok, Kelantan, apabila mengetahui bahawa anak mereka, Kang Rong Chen, mengalami masalah pendengaran saraf yang sangat teruk di kedua-dua belah telinga akibat meningitis.

Rong Chen menjadi antara penerima implan koklea termuda di Asia Tenggara apabila berjaya menjalani pembedahan bantuan pendengaran itu ketika usianya tujuh bulan.

Penasihat Pasukan Hearing Implant Team (HIT) Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Dinsuhaimi Sidek berkata pembedahan implan koklea yang dijalankan terhadap Rong Chen pada tahun 2018 ketika dia berusia 7 bulan merupakan satu kejayaan besar kepada Hospital USM Kubang Kerian.

“Kami bersyukur kerana pembedahan serta pemasangan implan koklea berjalan lancar ketika itu oleh pasukan HIT Hospital USM yang terdiri daripada Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Pegawai Audiologis dan Pegawai Patologis Pertuturan Bahasa,” kata Dinsuhaimi.

Ketika ditemui semasa majlis pelancaran Kumpulan Sokongan Implan Koklea di USM Kampus Kesihatan, Lian Chern berkata semasa berumur tiga bulan, Rong Chen telah mengalami demam panas dan terpaksa dimasukkan ke dalam wad lebih sebulan dan pernah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Hospital USM akibat sawan.

Sepanjang menjalani rawatan di dalam wad, dia menyedari anaknya tidak memberikan sebarang tindak balas terhadap bunyi dan persekitaran. Disebabkan itu, Rong Chen dirujuk ke klinik Audiologi untuk saringan dan disahkan mengalami masalah pendengaran saraf yang sangat teruk di kedua-dua belah telinga.

“Pada mulanya saya agak pelik kenapa anak saya langsung tidak kisah dengan persekitarannya walaupun suasana di dalam wad agak bising tetapi dia hanya akan tersenyum apabila melihat muka orang yang dia kenal.

“Setelah saringan pendengaran dibuat dan apabila diberitahu anak saya mengalami masalah pendengaran, saya terima dengan hati yang terbuka biarpun dari segi fizikal, Rong Chen dilahirkan sempurna,” kata Lian Chern.

Kos pembedahan dan pemasangan implan yang tinggi menjadi kekangan buat pasangan ini kerana dengan pendapatan ketua keluarga sebagai seorang mekanik tidak memungkinkan mereka untuk memasang alat implan yang berharga RM80 ribu.

Namun rezeki tidak pernah mungkir pada penerimanya apabila ada pihak yang telah menampung kos tersebut.

“Prosedur pembedahan bagi mengimplan buat pertama kali dilakukan pada 22 Mac 2018 di telinga sebelah kiri pada usianya tujuh bulan 16 hari diikuti implan kedua di telinga kanan pada 10 September 2018 enam bulan selepas pemasangan implan pertama,” ujarnya.

Berkongsi pengalaman dalam menjaga anak sekecil itu yang memakai implan koklea, Lian Chern menjelaskan, dia perlu memberi tumpuan khusus kepada anak bongsu daripada lima orang adik-beradik itu.

“Pada awalnya agak susah sikit kerana Rong Chen tidak selesa dengan wayar yang dipasang, dan risiko alat tersebut rosak adalah tinggi memandangkan umurnya yang masih kecil dan belum mengerti apa-apa.

“Walau bagaimanapun, apabila saya melihat perkembangan yang baik selepas pemasangan implan koklea, saya sangat gembira dan tidak pernah merasa malu dengan keadaannya, malahan saya tanam dalam diri untuk jaga anak saya sebaiknya kerana pada saya, pandangan orang luar tidak penting, yang penting adalah anak kita dan kini dia dapat menjalani kehidupan normal seperti abang dan kakaknya yang lain,” katanya sambil tersenyum.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Mohd Asrar Mohd Rokeman

  • Created on .
  • Hits: 929

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024