USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KARYA SENI ABU DAN ARANG ISMAIL ABDULLAH KE PENTAS ANTARABANGSA

54514571 2489651974392992 5729291986939150336 o

USM, PULAU PINANG, 15 Mac 2019 – Hasil seni yang tiada penghujung dan keunikan yang tidak dikesan oleh mata kasar manusia merupakan coretan seni visual yang berjaya dipamerkan oleh Dr. Ismail Abdullah di dinding-dinding galeri seni tempatan dan antarabangsa.

Hanya menggunakan abu dan arang kesan kebakaran, Ismail berjaya membawa satu ilham konseptual iaitu asemblaj foto-serial bertemakan “abu dan arang’ dan instalasi foto-objek berdasarkan interpretasi sajak “Salam Benua” karya Sasterawan Negara Usman Awang dalam bentuk visual melalui pamerannya bertajuk “Abu/Arang & Salam Benua” yang sedang dipamerkan di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), Universiti Sains Malaysia (USM).

54521747 2489653707726152 2116234844638806016 o

Karyanya turut pernah mendapat permintaan untuk dipamerkan di Rochester Institute of Technology, New York, Amerika Syarikat selain galeri-galeri tempatan, antaranya Balai Seni Lukis Negara, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), dan Balai Seni Lukis Pulau Pinang.

Pada majlis pelancaran tersebut, Ismail yang juga alumni USM berkata, menjadi hasrat beliau untuk berkongsi idea menggunakan visual kesan kebakaran beserta partikel abu dan tungkulan arang melalui tingkap minda imaginatif buat tatapan umum terutamanya warga kampus USM.

“Karya seni yang dicipta ini berkisarkan persoalan konsepsi estetik dan ekspresi puitiknya melalui aktiviti dan kesilapan manusia yang memusnahkan persekitaran, dan kesedaran yang harus dipupuk dalam memelihara kesejahteraan persekitaran yang semulajadi,” katanya.

53725125 2489651584393031 9057601005197197312 o

Tambah Ismail, karya seni visual triplet yang beliau kongsikan ini disampaikan dalam bentuk sekuens foto, catan-foto, pengecatan objek serta penvisualan puisi konseptual yang abstrak agar ia mudah difahami dan dihayati oleh peminat-peminat seni tanah air.

Dr. Ismail Abdullah adalah mantan Pengarah Pusat Seni USM dan telah membantu dalam penubuhan Pusat Pengajian Seni yang ada sekarang, selain merupakan pencipta lirik lagu keramat USM iaitu “Menara Ilmu” yang sering dinyanyikan dalam majlis-majlis rasmi USM.

54220573 2489652507726272 2080134270126391296 o

Pada majlis yang sama, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, beliau amat mengalu-alukan pameran hasil seni yang kreatif, inovatif dan berkualiti untuk dikongsikan bersama warga kampus.

“Saya mengharapkan pameran dan kerjasama seperti ini akan diteruskan dan menjadikan MGTF sebagai tempat menzahirkan hasil-hasil karya seni yang bermutu tinggi ke bentuk pameran sebegini,” katanya ketika merasmikan pameran “Abu, Arang & Salam Benua” atau “Burnt/Ashes & Greeting To the Continent” One-Man Exhibition+Installation oleh Dr. Ismail Abdullah di MGTF di sini hari ini.

Tambah Asma, USM akan sentiasa membantu dan bekerjasama dengan rakan-rakan dari semua universiti awam dan swasta, badan berkanun, NGO serta karyawan-karyawan seni negara bagi menonjolkan bakat-bakat mereka dalam bentuk pameran seumpama ini dan aktiviti-aktiviti iringan yang lain.

53853848 2489651791059677 707755583259803648 o

Turut hadir ialah pensyarah Pusat Pengajian Seni USM, Profesor Madya Hasnul Jamal Saidon dan kurator MGTF, Zolkurnian Hassan.

Orang ramai dan peminat seni tanah air dijemput hadir untuk menyaksikan karya Dr. Ismail Abdullah di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah dari 11 Mac 2019 sehingga 13 April 2019, jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang. Untuk maklumat lanjut, boleh menghubungi talian 04-6533261/2137/4789/4788 atau melawat laman web: www.mgtfusmpenang.blogspot.com.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 2840

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024