USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-RIKEN PERKASA KERJASAMA AKADEMIK DAN PENYELIDIKAN

IMG 0027

PULAU PINANG, 7 Mac 2019 – Hampir 30 tahun bekerjasama membangunkan penyelidikan dan melahirkan ahli-ahli akademik berwibawa di rantau Asia, semestinya RIKEN, Jepun terus memilih Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai rakan strategik kolaborasi melalui pembaharuan Memorandum Perjanjian (MoA) yang ditandatangani kedua-dua pihak di sini hari ini.

Kerjasama erat antara USM-RIKEN sejak awal tahun 1990-an membawa kepada pelbagai kejayaan, antaranya melahirkan ahli-ahli cendekiawan dan saintis, menghasilkan lebih 30 graduan PhD dan 60 kertas ilmiah penerbitan secara bersama.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, kerjasama yang sedia terjalin selama 30 tahun sebenarnya mampu ditingkatkan lagi jika institusi USM-RIKEN dapat ditubuhkan di kampus USM bagi manfaat bersama dalam dunia pendidikan tinggi dan penyelidikan.

IMG 0032hj

“Saya berharap pengurusan tertinggi RIKEN dapat menerima idea mencetuskan hasrat bersama-sama USM bagi menubuhkan institusi USM-RIKEN dengan menempatkan tenaga penyelidik, sumber ilmu dan mahasiswa kedua-dua institusi di bawah satu bumbung memandangkan USM-RIKEN International Centre for Ageing Science (URICAS) kini masih sebuah Pusat Maya (Virtual Centre) ditambah pula kumpulan penyelidik USM-RIKEN antara yang terbaik di universiti ini,” katanya ketika hadir di majlis penandatanganan MoA sekaligus merasmikan penutupan URICAS Simposium 2019 di Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM).

IMG 0038ghj

Asma turut berharap kerjasama antara USM dan RIKEN selepas ini bertumpu kepada topik dan bidang penuaan memandangkan Jepun memang terkenal di seluruh dunia kerana mempunyai bilangan masyarakat warga emas sihat yang ramai sekali.

“Hampir semua negara di dunia termasuk Malaysia akan menjadi ‘negara tua’ dalam dekad yang akan datang, yang memerlukan kita semua bersedia untuk berhadapan dengan pelbagai isu yang bakal timbul; di sini kerjasama USM-RIKEN dapat menerajui kajian fundamental berkenaan penuaan untuk menangani isu-isu tersebut,” tambah beliau.

IMG 0043

Pada majlis yang sama Pengarah Eksekutif (Kolaborasi Penyelidikan) RIKEN Prof. Motoko Kotani turut berterima kasih kepada semua penyelidik USM dan RIKEN yang telah memainkan peranan penting dalam mengekalkan dan mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua institusi tersebut selama ini.

“Pihak RIKEN sentiasa mengalu-alukan kedatangan dan pertukaran tenaga akademik mahupun pelajar USM dalam usaha membantu meningkatkan kualiti akademik dan penyelidikan kedua-dua buah negara yang kini semakin mencabar untuk diterokai,” katanya.

IMG 0061

Yang turut hadir adalah Pengarah Nexus Sains Hayat USM, Profesor Dr. Mohd. Nazalan Mohd. Najimudin; Penyelaras RIKEN-USM, Profesor Dr. K. Sudesh Kumar; Penyelaras URICAS, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin dan Profesor Dr. Hiroshi Ohno serta para penyelidik dari RIKEN dan USM.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1246

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024