PROF. BAHRUDDIN INGIN LETAK PKD DI PENTAS DUNIA
Pengarah yang baru dilantik menerajui Pusat Kawalan Doping (PKD), Profesor Bahruddin Saad berhasrat meletakkannya sebagai antara pusat rujukan yang utama di dunia, sentiasa relevan dan segera mendapat semula akreditasi yang digantung oleh Agensi Anti Doping Dunia (WADA) atas alasan gagal mematuhi Standard Antarabangsa untuk Makmal (ISL) yang mendapat reaksi pelbagai pihak.
Usaha-usaha kini sedang giat dibuat untuk mendapat semula akreditasi tersebut sebagai memenuhi keperluan negara malah melihat semula semua peralatan yang ada di makmal PKD agar segera merealisasikan hasrat tersebut. Apatah lagi apabila dijanjikan dengan 3,000 sampel setahun memenuhi keperluan pensampelan di sini bagi memastikan kelangsungan PKD.
Yang paling penting ialah untuk membetulkan urus tadbir PKD dengan mengasingkan antara tugas PKD dengan Centre for Advanced Analytical Toxicology (CAATS).
Menurut pakar dalam bidang Analisis Kimia itu, pelantikannya datang bersama tanggungjawab dan cabaran besar untuk memacu kecemerlangan PKD sebagai pusat akademik yang turut menawarkan perkhidmatan dan konsultansi dalam menganalisis pelbagai sampel termasuk urin, darah, pencemaran makanan, udara dan sebagainya.
Anak kelahiran Kedah ini berpendapat, amanah yang dimandatkan oleh universiti itu memerlukan beliau membuat perancangan rapi bagi mengemudi PKD, sebuah pusat akademik yang disifatkan sebagai ‘mewah’ dengan kelengkapan fasiliti makmal yang moden, terkini dan high-end, yang turut dicemburui oleh orang lain.
“Persoalannya di sini adalah untuk melihat bagaimana hendak mengoptimumkan penggunaan alat-alat yang ada untuk kepentingan semua pihak termasuk universiti, negara dan masyarakat sejagat. Ini antara faktor yang saya teliti dalam memulakan tugas saya,’’ ujar beliau.
Tambahnya, sebagai permulaan usaha beliau ditumpukan kepada proses membangunkan struktur urus tadbir organisasi yang sesuai dengan matlamat kita yang sesetengah orang melihat PKD sebagai satu pusat yang memiliki peralatan mahal, sehingga ada yang mencecah hampir RM4 juta seunit.
“Tenaga kerja yang ada mencukupi untuk menjalankan kerja-kerja yang ingin dibuat, dibantu oleh kekuatan dua timbalan pengarah, seorang pengurus, dua pensyarah dan seorang pelajar di peringkat pasca-siswazah, selain turut mendapat komitmen lebih 50 kakitangan yang terdiri dari pegawai penyelidik, pegawai sains, pegawai tadbir, pembantu makmal dan sebagainya.
“PKD diharap dapat menjadi satu pusat rujukan terkenal di peringkat serantau dan di pentas global. Namun untuk mencapai ke tahap tersebut, masih banyak kerja-kerja yang perlu dijalankan kerana proses mendapatkan kepercayaan dan akreditasi bukan satu perkara mudah. Ia memerlukan komitmen dan kecintaan yang tinggi terhadap perkara yang djalankan,’’ ujarnya.
Tambah beliau, selain bertindak sebagai sebuah pusat yang menawarkan perkhidmatan dan konsultansi kepada pihak luar, PKD turut menjalankan kursus-kursus pengajian di peringkat sarjana dan ijazah doktor falsafah (Ph.D) dan sehingga kini lebih 40 pelajar telah mengikuti kursus pengajian (attachment) di PKD.
PKD dan CAATS
Mengulas lanjut, beliau berkata PKD berperanan jauh lebih besar dari hanya menganalisis sampel urin atau darah para atlet dari seluruh dunia. Tanggungjawab PKD kini telah dikembangkan kepada perkhidmatan lain yang menjurus kepada kolaborasi lebih kukuh dengan badan-badan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, agensi-agensi swasta dan sebagainya.
Katanya, di sinilah berkembangnya satu lagi unit di bawah PKD yang dikenali sebagai Centre for Advanced Analytical Toxicology (CAATS). CAATS berperanan sebagai satu unit yang menjalankan aktiviti analisis terhadap semua sampel kecuali anti-doping. Antara analisis yang dijalankan di bawah CAATS adalah pencemaran alam sekitar, makanan, ujian dadah di tempat kerja, dan sebagainya.
Prof. Bahruddin berkata, PKD dan CAATS adalah dua unit yang berbeza sama sekali, baik dari segi kepakaran staf, fasiliti, makmal dan sebagainya.
“Sebagai contoh dalam menjalankan analisis pencemaran makanan, CAATS menjadi makmal rujukan kepada KKM dalam menjalankan analisis dalaman kepada sampel-sampel yang dihantar, termasuk sampel yang rumit yang memerlukan kepakaran tinggi kerana kita di CAATS berkeupayaan untuk memenuhi permintaan tersebut.
“Kita juga menjalankan ujian terhadap bahan-bahan terlarang yang digunakan dalam industri makanan, termasuk ujian ke atas ternakan dan hasil laut yang akan dieksport ke negara-negara luar bagi menjamin barangan eksport tersebut bebas dari penggunaan antibiotik, dadah atau sebarang unsur kimia terlarang di bawah Akta Kawalan Keselamatan Makanan,’’ ujar beliau.
PKD pula ujarnya hanya menumpukan kepada aktiviti analisis anti-doping. Buat masa ini ada lebih 100 bahan yang tidak boleh diambil oleh para atlet dan jumlah tersebut seringkali bertambah saban tahun. Justeru ujarnya, PKD perlu bekerja keras bagi memastikan makmalnya sentiasa peka dengan perkembangan dan piawaian semasa seperti yang digariskan badan akreditasi global.
“Kita kena sentiasa meningkatkan kepakaran dan peralatan. Ramai tidak mengetahui analisis doping sebenarnya adalah satu perkara yang bersifat dinamik dan tidak statik. Instrumentasi yang digunakan dalam proses menganalisis juga perlu sentiasa ditambah baik mengikut kehendak semasa yang mana ia melibatkan kos yang agak tinggi,’’ tambah beliau.
USAHA KEMBALIKAN AKREDITASI PKD
Kredibiliti PKD juga sedikit tercalar pada pertengahan tahun 2010 apabila badan akreditasi antarabangsa iaitu Agensi Anti Doping Dunia (WADA) menggantung akreditasi PKD atas alasan gagal mematuhi Standard Antarabangsa untuk Makmal (ISL).
Penggantungan tersebut turut mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk yang terbaru daripada Menteri Belia dan Sukan.
Tidak melatah dengan perkara tersebut, lulusan Ph.D dari University of Wales ini berkata, pemahaman umum mengenai perkara ini perlu dipertingkatkan dan pada masa yang sama usaha ke arah memperbaiki kelemahan yang ada sedang giat dijalankan, termasuk menyediakan satu ‘roadmap’ untuk meletakkan hala tuju yang jelas.
“Ada lebih kurang 33 makmal analisis doping di seluruh dunia dan menjadi satu perkara normal jika badan akreditasi menggantung atau mengiktiraf semula sesebuah makmal disebabkan kriteria pengakreditasian yang sentiasa berubah-ubah mengikut piawaian semasa.
“USM berada pada tahap yang sama namun kini sedang dalam proses mendapatkan semula akreditasi tersebut. Banyak usaha kita telah jalankan di sebalik penggantungan ini, sekaligus menolak anggapan segelintir pihak bahawa PKD kini sudah tidak lagi menjalankan apa-apa aktiviti,’’ katanya.
Tambah beliau, antara usaha yang diajalankan di PKD kini adalah menjalankan program yang dikenali sebagai Internal Quality Assurance System (IQAS). IQAS adalah satu sistem yang membolehkan kakitangan PKD menjalankan proses analisis sampel mengikut spesifikasi semasa badan akreditasi, termasuk dalam mendapatkan sampel, menganalisis, melihat hasil analisis, permasalahan dan sebagainya.
“Ia dibuat seperti analisis yang betul yang dikehendaki oleh badan akreditasi, bertujuan untuk mempersiapkan kakitangan kepada keperluan dan piawaian semasa. Secara khusus, PKD sedang berada di landasan yang betul untuk mendapatkan semula akreditasi dan mengembalikan kepercayaan ramai terhadap makmal yang turut mendapat pensijilan ISO: 17025 ini,’’ katanya.
HARAPAN
Walaupun baru memegang jawatan tersebut pada awal Januari 2013, Prof. Bahruddin telah melihat potensi dan keupayaan yang ada pada PKD yang boleh digembleng untuk terus cemerlang dan disegani. Katanya, beliau amat berharap supaya PKD kembali mendapat pengiktirafan WADA, seperti juga yang diharapkan oleh pelbagai pihak lain di negara ini.
Pun begitu ujar beliau, mendapatkan akreditasi bukan satu-satunya harapan yang ingin dilihat di akhir perjalanan meneraju pusat tersebut. Malah, impiannya jauh lebih tinggi iaitu melihat PKD terus kekal relevan sampai bila-bila.
“Sehingga kini pun PKD telah banyak menyumbang kepada kemajuan negara khususnya dalam menjalankan analisis sampel-sampel makanan yang dikhuatiri beracun dan memudaratkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di negara dan rantau ini. Analisis terhadap pelbagai sampel melibatkan isu melamin, hidrokarbon dalam makanan antibiotik yang digunakan terhadap haiwan ternakan semuanya dijalankan di PKD, namun ia jarang mendapat perhatian ramai,’’ ujarnya.
Tambah beliau, PKD turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin mendapatkan khidmat PKD dalam menjalankan analisis khususnya yang boleh dikendalikan di bawah CAATS. Katanya, PKD akan memantapkan operasinya, termasuk dalam menambahbaik kemudahan yang ada untuk mengoptimumkan keupayaannya meneroka peluang lebih besar yang dapat memberi manfaat besar kepada pembangunan ilmu baik di peringkat tempatan, serantau dan juga di pentas global.
- Created on .
- Hits: 3144