USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

55 PELAJAR USM TERMASUK DARI LUAR NEGARA BEKERJASAMA DENGAN PKS DALAM PEMBANGUNAN PERNIAGAAN E-DAGANG

EAM 1251

PULAU PINANG, 7 Mac 2019 – Seramai 55 pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) termasuk 22 pelajar dari lapan buah negara luar bakal membangunkan perniagaan digital dan perniagaan e-dagang bersama para peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri Pulau Pinang. 

Program ini yang dibangunkan oleh Pusat Pengajian Pengurusan (PPP) USM bersama Penang International Halal Hub Development Sdn. Bhd. dan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu (PERDASAMA) Pulau Pinang memberikan pendedahan kepada semua pihak berkenaan teori, kaedah dan aplikasi dalam pengurusan pemasaran digital dan perniagaan e-dagang dengan lebih berkesan.

EAM 1267

Menurut EXCO Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato' Haji Abdul Halim Haji Hussain, program sebegini dapat membantu PKS mengaplikasikan konsep keusahawanan digital yang sesuai dengan era Industri 4.0 serta meningkatkan keupayaan PKS untuk bersaing di peringkat global. 

Bagi pihak USM pula, Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berharap kerjasama dan kerja bersama-sama dengan PKS ini dapat meningkatkan industri PKS ke tahap yang lebih tinggi, bermula dengan PPP dan ianya bakal dikembangkan ke seluruh USM bagi membantu meningkatkan lagi keternampakan industri ini di mata dunia.

EAM 1273

“Di samping itu, pembangunan produk Halal di dalam Sains Halal dan Kluster Halal di USM dapat dipertingkatkan dengan kerjasama Penang International Halal Hub Development Sdn. Bhd. serta mengambil peluang Pulau Pinang sebagai pelabuhan halal kedua selepas Rotterdam, Belanda,” tambah Naib Canselor.

“Melalui jaringan kerjasama di antara pelajar antarabangsa dari negara-negara seperti Perancis, Belanda, Finland, China, India, Australia, Indonesia dan pelajar tempatan, program sebegini akan lebih berjaya serta membuka minda para pelajar untuk berfikir dengan lebih matang,” tambahnya.

Menurut Dekan PPP, Profesor Dr. Noor Hazlina Ahmad, program ini adalah program ‘Experiential-based Learning’ melalui libatsama PKS di dalam konteks pengajaran dan pembelajaran pelajar yang bertemakan ‘Creative Digital Marketing and E-commerce Strategies for SMEs: An Experiential-based Approach.

EAM 1281

“Objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang strategi pemasaran digital serta e-dagang melalui penglibatan secara langsung dengan PKS,” tambah Noor Hazlina. 

Pada majlis ini, turut dimeterai ialah Memorandum Perjanjian (MoA) di antara USM dan Penang International Halal Hub Development Sdn. Bhd dan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA).

EAM 1196

Turut hadir ialah Timbalan Presiden PERDASAMA Malaysia, Mejar (B) Dato’ Haji Abdull Rahim Haji Saad; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah dan Yang Di-Pertua PERDASAMA Pulau Pinang, Malik Faisal Abdul Rahim. 

Teks: Nor Rafizah Md Zain /Foto: Ebrahim Abdul Manan

  • Created on .
  • Hits: 1599

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024