USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KERAJAAN NEGERI ZAHIR KOMITMEN BANGUNKAN PENYELIDIKAN SAINS PENUAAN

gfthfth

PULAU PINANG, 7 Mac 2019 – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menzahirkan kesediaannya bekerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi membangunkan penyelidikan dalam bidang sains penuaan (ageing science), satu disiplin ilmu pengetahuan moden yang menjanjikan masa depan yang cukup besar kepada dunia sains dan penyelidikan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya amat teruja kerana USM selaku universiti terulung di negara ini menjadi pemacu kepada penyelidikan bidang itu yang disifatkannya memberi manfaat yang cukup besar kepada komuniti.

fhxdfhgfh

Katanya, masyarakat di negara ini sedang melalui fasa perubahan yang mana manusia hidup lebih lama dan negara akan mempunyai 6.3 juta manusia yang berusia lebih dari 60 tahun menjelang 2040, iaitu merangkumi 20% daripada jumlah penduduk.

“Statistik menunjukkan walaupun kadar jangka hayat manusia pada hari ini boleh melangkaui kadar jangka hayat terdahulu, namun dengan peningkatan usia itu kualiti kehidupan akan terkesan dan mewujudkan cabaran kepada golongan berusia dan keluarga serta komuniti secara keseluruhan.

gfgfh

“Justeru, kerajaan negeri amat teruja kerana USM menjadi salah satu institusi yang mengambil inisiatif dalam membangunkan kajian-kajian dalam bidang sains penuaan dan bersedia menghulur komitmen pada bila-bila masa untuk menjayakannya bagi manfaat masyarakat secara holistik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama bertajuk ‘The Future is Now: Fostering Social Commitment For The Active Ageing Community’ sempena International Conference on Ageing (ICA) 2019 di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail; Pengarah Eksekutif RIKEN, Profesor Dr. Motoko Kotani; Timbalan Naib Canselor (TNC) Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; TNC Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah; Penyelaras-penyelaras Pusat Penyelidikan Antarabangsa Sains Penuaan USM-RIKEN (URICAS) Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin dan Profesor Dr. Hiroshi Ohno serta lebih 200 peserta dari dalam dan luar negara.

gfhgfh

Dalam pada itu, Asma pula menegaskan, aspirasi Universiti adalah untuk melihat ICA 2019 menyatukan penyelidik dari serata dunia untuk terus berkolaborasi bagi menghapuskan halangan ke arah kerjasama multidisiplin di antara sains tulen and sains sosial.

Katanya, penyelidikan seharusnya dibangunkan dan disesuaikan dengan keperluan dan keinginan masyarakat umum, dengan melibatsamakan masyarakat untuk menentukan keperluan terhadap kesejahteraan golongan berusia. 

“Saya sangat berharap bahawa interaksi dan pengalaman yang akan dikongsi dalam persidangan ini bukan sahaja akan memperkuat dan mewujudkan kerjasama akademik dan penyelidikan baharu, tetapi akan turut meningkatkan pemahaman kita tentang proses penuaan.

“Hasil dan perbincangan dari persidangan ini akan menjadi pemangkin untuk kita melangkah ke arah penghasilan inovasi, intervensi dan jaringan kukuh yang berupaya memberi manfaat kepada masyarakat berusia dari semasa ke semasa,” ujarnya lagi.

gfhfh

Dalam pada itu, ICA 2019 turut membariskan ucaptama dari akademia terkemuka termasuk Presiden St. Cloud State University, Amerika Syarikat, Profesor Dr. Robbyn R. Wacker; Professorial Fellow dari National University of Singapore, Profesor Dr. Mukul G. Asher; saintis penyelidikan anti-penuaan yang terkenal di Eropah, Profesor Dr. Karl J. Neeser dari Chulalongkorn University, Thailand dan ramai lagi.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1171

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024