USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ALDRIN TEKAD TERUSKAN AGENDA HEBAT

Prof Aldrin

PULAU PINANG, 7 Mac 2019 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah membangunkan pelan strategik bagi memperkasakan agenda HEBAT (Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate, Thinking) dalam kalangan pelajarnya dan ia akan diteruskan mengikut perancangan yang ditetapkan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM yang baharu dilantik, Profesor Dr. Aldrin Abdullah berkata, beliau akan meneruskan beberapa agenda besar yang telah dirancang termasuk merealisasikan inisiatif Indeks HEBAT dan agenda HEBAT itu sendiri.

“Agenda ini adalah satu usaha yang sangat ambitious kerana kesan daripadanya tidak dapat dilihat dalam tempoh yang singkat. Dalam hal ini, kita ingin menerapkan nilai-nilai HEBAT dalam semua pelajar USM, atau setidak-tidaknya majoriti daripadanya.

“HEBAT merangkumi nilai-nilai murni seperti kesukarelawanan, integriti, berfikiran kritis dan sebagainya dan ia bukan mudah kerana dalam konteks ini kita bukannya mengajar subjek. Untuk menjayakannya kita perlu melalui pelbagai fasa perubahan,” katanya.

Tambah beliau, proses menjenamakan pelajar USM dengan ciri-ciri HEBAT mungkin mengambil masa dalam tempoh lima ke sepuluh tahun sebelum boleh melihat pelajar USM keluar dengan aura dan jenama yang tersendiri serta mempunyai atribut yang hebat.

Aldrin juga menegaskan, USM turut akan meneruskan usaha melahirkan pelajar berminda global melalui inisiatif 1 Student 1 Passport dan Internalisation@Home bagi memberi pendedahan melalui experiental learning untuk pelajar USM memahami budaya global.

Selain itu katanya, beliau akan memperkasakan aspek ‘Student First Mentality’ iaitu bagaimana pihak pengurusan Universiti berhadapan dengan pelajar atau generasi Z yang mempunyai gaya hidup yang jauh lebih berbeza dari generasi sebelumnya.

“Kita perlu melihat semula cara bagaimana melayan pelajar-pelajar ini yang menjadi nadi kepada sesebuah Universiti. Sebagai contoh kita tidak boleh memberi layanan tidak mesra kepada mereka dan seboleh-bolehnya perlu mengurangkan karenah birokrasi yang menyebabkan mereka tidak berasa selesa untuk berurusan dengan kita.

“Dalam masa yang sama, kita juga perlu meningkatkan kualiti perkhidmatan termasuk menambah baik infrastruktur dan fasiliti bagi mewujudkan suasana yang kondusif untuk mereka melalui kehidupan di Universiti,” ujar Aldrin yang juga Alumni Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (PPPBP) USM tahun 1990-1994.

Aldrin yang juga Pengarah Pusat Perancangan Institusi dan Strategik dilantik bermula 1 Mac 2019 menggantikan Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein yang memegang jawatan tersebut sejak 1 Disember 2011.

Selain terlibat dalam pelbagai jawatankuasa strategik di peringkat Universiti, Aldrin turut pernah menyandang jawatan Dekan di PPPBP selama enam tahun.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 2535

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024