LEBIH 50 SYARIKAT SERTAI EKSPO PENDIDIKAN DAN KERJAYA (EKSPEN) USM 2019
PULAU PINANG, 5 Mac 2019 – Mahasiswa dan graduan Universiti Sains Malaysia (USM) berpeluang untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini pelbagai sektor pekerjaan di bawah satu bumbung apabila lebih daripada 50 buah syarikat dalam dan luar negara berkumpul di Ekspo Pendidikan dan Kerjaya (EKSPEN) 2019.
Ekspo yang akan diadakan pada 30 dan 31 Mac 2019 di Dewan Utama Universiti, USM bakal menempatkan syarikat-syarikat swasta dan juga agensi-agensi awam, institusi akademik dan pusat latihan graduan yang membolehkan pelajar menerokai alam pekerjaan yang bersesuaian.
Apatah lagi penganjuran EKSPEN kali ini dianjurkan buat pertama kalinya bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang, pastinya akan memberi impak yang lebih tinggi terutamanya dalam menarik lebih banyak penyertaan syarikat dan institusi pekerjaan.
Menurut Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Profesor Dr. P. Ramasamy di sidang media khas di sini hari ini, EKSPEN membuka peluang kepada semua pelajar mahupun graduan untuk meneroka pasaran kerja baharu melalui pameran yang disediakan, bengkel penulisan resume, ceramah kerjaya dan pendidikan, kaunseling dan juga temuduga terbuka.
“Kerjasama di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan USM telah berjaya menarik lebih 50 syarikat dan institusi luar untuk turut serta pada kali ini, sekaligus membantu memperkasakan graduan dalam memilih kerjaya yang sesuai selain dapat berinteraksi dengan bakal majikan,” katanya lagi.
Tambahnya, ia juga dapat membina platform bagi kedua-dua pihak bersama industri dalam dan luar negara untuk berkolaborasi, terutamanya menubuhkan rangkaian strategik bagi kerjasama pada masa akan datang.
Pada majlis yang sama, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan USM, Dr. Norazharuddin Shah Abdullah berkata, EKSPEN kali ini dengan motonya ‘Leading Graduates to Leading Careers’ berupaya menyediakan panduan khusus kepada pelajar untuk mengkaji selok belok pasaran kerja masa kini serta mengetahui nilai kebolehpasaran mereka.
"Saya mengharapkan bakal graduan dan graduan memanfaatkan panduan yang telah disediakan agar mereka mampu menilai keupayaan masing-masing untuk berdepan dengan permintaan dan keperluan pasaran kerja yang begitu mencabar sekarang,” katanya.
Semua dijemput hadir bagi memeriahkan ekspo tersebut selama dua hari bermula jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang, dan turut diadakan cabutan bertuah buat peserta dan pelbagai juadah makanan Food Truck dijual sekitar tapak ekspo.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1584