USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BURSARY@USM: USM SEDIA KEMUDAHAN PEMBAYARAN DIGITAL UNTUK PELAJAR

IMG 0326

USM, PULAU PINANG, 26 Februari 2019 – Demi memastikan kemudahan dan kebajikan pelajar sentiasa diutamakan, Universiti Sains Malaysia (USM) kini menyediakan segala urusan pembayaran dan transaksi kewangan membabitkan pelajar dalam bentuk digital (e-payment) tanpa tunai.

BURSARY@USM atau dikenali Seksyen Hasil dan Kewangan Pelajar dahulunya kini siap membangunkan perkhidmatan urusan pembayaran pelajar secara transaksi digital yang mana pelajar lebih mudah menguruskan pembayaran tertentu tanpa tunai hanya menggunakan telefon bimbit ataupun komputer.

IMG 0354

Menurut Bendahari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Rohayati Mohd Isa, atas tujuan inilah seksyen tersebut telah dijenamakan semula sebagai BURSARY@USM dan kini berpindah ke Bangunan D12 (bersebelahan CIMB Bank dan MAYBANK) dengan hasrat menambah baik mutu perkhidmatan Jabatan Bendahari, ditambah pula lokasinya yang strategik dan memudahkan pelajar untuk ke sini.

IMG 0360

“Pelbagai kemudahan baharu disediakan di BURSARY@USM seperti pembayaran yuran pengajian, kemudahan dan perkhidmatan Universiti melalui USMartpay seperti e-Payment, Debit dan Kredit Card, Touch N Go dan QrPay, dalam usaha menyokong agenda pembayaran tanpa tunai,” katanya lagi.

Tambahnya, perpindahan ini amat penting dalam memberikan perkhidmatan setempat (one stop centre) bagi pengurusan hasil dan kewangan pelajar universiti.

“Saya berharap dengan perpindahan lokasi dan penjenamaan semula Seksyen Hasil dan Kewangan Pelajar ini selaras dengan hasrat universiti yang sentiasa menambahbaik mutu perkhidmatan pelanggan oleh Jabatan Bendahari, dan diharap pelajar USM lebih mudah mengaplikasikan teknologi yang disediakan untuk urusan pembayaran tanpa tunai yang mudah dan menjimatkan masa,” katanya lagi.

IMG 0381

Majlis pelancaran BURSARY@USM telah disempurnakan oleh Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur di bangunan D12 selepas beliau hadir sempena Perutusan Naib Canselor 2019 oleh Profesor Datuk Dr. Asma Ismail di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP).

IMG 0529

Yang turut hadir ke majlis pelancaran adalah Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, dan suami, Profesor. Dato’ Dr. Ahmad Hj. Zakaria, Timbalan-Timbalan Naib Canselor USM dan pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 2045

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024