USM-PMI MALAYSIA JALIN KERJASAMA TINGKAT PROGRAM PENGURUSAN PROJEK UNIVERSITI-INDUSTRI
GEORGE TOWN, 26 Februari 2019 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Project Management Institute (PMI) Malaysia hari ini menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bagi jalinan kerjasama strategik untuk program-program melibatkan Pengurusan Projek dan hubungan dua hala universiti-industri.
Majlis penandatanganan MoA ini bakal memperlihatkan kerjasama USM dan PMI Malaysia membangunkan beberapa bidang utama di antaranya penyelidikan kerjasama yang berkaitan Seni dan Sains Pengurusan Projek, perkongsian ilmu antara ahli akademik dan pihak industri serta penganjuran bersama bengkel, seminar, simposium dan persidangan mengenai isu-isu pengurusan projek.
Pada majlis menandatangani memorandum tersebut, Dekan Pusat Pengajian Perumahan, Pembangunan dan Perancangan, USM, Profesor Madya Ir. Dr. Abdul Naser Abdul Ghani berkata, kerjasama USM-PMI Malaysia diharap mampu memberikan impak positif dalam pembangunan program-program berkaitan Pengurusan Projek di negara ini khususnya USM.
“Dengan kemudahan dan kepakaran yang dimiliki kedua-dua pihak, saya yakin ia mampu meletakkan bidang Pengurusan Projek pada tahap yang diinginkan dan menyedarkan orang ramai terutamanya akademik mahupun pengamal industri bahawa pengurusan projek merupakan intipati penting dalam sesebuah organisasi bagi mencapai apa yang disasarkan,” katanya ketika mewakili Naib Canselor USM pada majlis Penandatanganan MoA yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini.
Pada majlis yang sama, Presiden PMI Malaysia Chapter, Krishnan Srinivasan berkata dengan kerjasama ini PMI Malaysia akan memberikan sepenuh komitmen dalam apa juga projek dan program melibatkan akademik, pelajar dan industri yang akan diadakan bersama pada masa datang.
“PMI Malaysia amat menghargai kerjasama diberikan USM, dan PMI sedia memberikan perkhidmatan terbaik kepada USM seperti kadar istimewa dalam semua acara PMIMY, kemudahan proses akreditasi Institut Pengurusan Projek (PMI) untuk bidang berkaitan melibatkan USM, penyediaan khidmat nasihat dan perundingan berkaitan program akademik, penganjuran bengkel bersama dan lain-lain lagi,” katanya.
Yang turut hadir adalah Pengerusi Lembaga PMI USA, Randall T. Black, Eng. PMP dan Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan USM, Prof. Madya Dr. Hanizam Awang.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1526