USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MALAYSIA BERPOTENSI PROSES NADIR BUMI

usmpark

PULAU PINANG, 22 Jan. 2013 -  Malaysia berpotensi menjadi sebuah negara yang mampu memproses unsur nadir bumi sendiri dalam tempoh sepuluh tahun akan datang dengan mengambil kira beberapa faktor sebelum ia berjaya direalisasikan.

Pensyarah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Radzali Othman berkata, nadir membawa maksud jarang ditemui dan unsur nadir bumi adalah unsur kimia yang wujud dalam peratusan kecil di muka bumi termasuk di kawasan lombong bijih timah, tanah liat dan lain-lain.

Katanya, nadir bumi kebiasaannya hadir bersama-sama sumber atau bijih tertentu yang boleh diproses untuk menghasilkan pelbagai bahan termaju, termasuk dalam industri automotif seperti pembuatan kereta hybrid, pemacu dalam komputer dan sebagainya.

``Jika melihat kepada situasi semasa, masyarakat cenderung melihat pemprosesan nadir bumi dalam perspektif negatif dengan anggapan kesemua unsur nadir bumi mendatangkan bahaya dan kemudaratan kepada keselamatan dan kesihatan.

``Hakikatnya, tidak semua unsur nadir bumi berbahaya dan mengandungi bahan radioaktif tinggi, misalnya nadir yang diekstrak dari sumber yang berasaskan tanah liat. Sebenarnya ia jauh lebih selamat dan tidak memudaratkan,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena penganjuran Persidangan Serantau Kejuruteraan Bahan ke-5 (RCM5) dan Persidangan Serantau Sumber Asli dan Bahan ke-5 (RCNRM5) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Dekan PPKBSM, Prof. Hanafi Ismail dan dua pembentang ucaptama, Pengerusi Pengasas Texchem Group, Tan Sri Dato’ Seri Fumihiko Konishi serta Profesor Ahmad Fauzi Mohd. Noor (USM).

Radzali yang turut berperanan sebagai pengerusi persidangan berkata, teknologi dan pengetahuan dalam pengurusan serta pemprosesan nadir bumi telah wujud di negara ini, termasuk tenaga pakar yang dihantar melanjutkan pengajian dan latihan di luar negara.

``Tapi ia juga turut disertai dengan beberapa cabaran termasuk keperluan kos yang tinggi untuk menguruskan nadir bumi ekoran daripada sifatnya yang jarang ditemui dan hanya terdapat di lokasi-lokasi tertentu.

``Para pelabur juga melihat perkara ini dengan terperinci kerana ia melibatkan kos serta perlu melalui satu proses yang panjang,’’ ujarnya.

Dalam pada itu, persidangan dua hari itu yang melibatkan penyertaan lebih 150 peserta dari dalam dan luar negara memberi penekanan ke atas pelbagai isu semasa yang menjadi tumpuan serantau dan global.

Antara isu yang dilihat termasuk bahan dalam kegunaan perubatan, bahan untuk alam sekitar, tenaga baru dan boleh diperbaharui, sains dan kejuruteraan bahan, bahan elektronik dan bahan nano dalam RCM5.

Sebaliknya, dalam RCNRM5 tumpuan akan diberikan ke atas kejuruteraan geologi dan persekitaran, perlombongan dan pemprosesan mineral, sumber asli/bahan, dan juga pemprosesan serta kegunaan unsur nadir bumi dalam bahan termaju. 

Kedua-dua persidangan tersebut telah berjaya mendapat sokongan pihak JICA, Jepun, Yayasan ASEAN dan AUN/SEED-Net (Rangkaian Universiti ASEAN/Rangkaian Pembangunan Pendidikan Kejuruteraan Asia Tenggara).Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

 

 

  • Created on .
  • Hits: 4291

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024