USM RANGKUL ENAM EMAS, SATU ANUGERAH KHAS DALAM MTE 2019
KUALA LUMPUR, 23 Februari 2019 – Enam penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) menyerlahkan kecemerlangan apabila meraih enam pingat emas dalam pertandingan Malaysia Technology Expo (MTE) yang disertai oleh komuniti penyelidik dari dalam dan luar negara.
USM turut mendapat perhatian juri luar dan meraih anugerah khas Croatia Innova melalui inovasi Magnetorheological Elastomer oleh Dr. Raa Khimi Shuib dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral.
Enam emas yang dibawa pulang pula adalah dari inovasi Dr. Rafidah Zainon dan Dr. Mohd Hafiz Mohd Zin dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Dr. Zuraida Zainun (PP Sains Kesihatan), Profesor Madya Dr. Wan Zaripah Wan Bakar (PP Sains Pergigian), Prof. Madya Dr. Nor Shafrin Ahmad (PP Ilmu Pendidikan) dan Dr. Norilmi Amilia Ismail (PP Kejuruteraan Aeroangkasa).
Selain enam emas, USM turut membawa pulang lima perak dan tiga gangsa, sekaligus mengekalkan rekod pencapaian 100 peratus pungutan pingat secara keseluruhan.
Pengarah Pejabat Inovasi USM, Profesor Dr. Hanafi Ismail selaku ketua delegasi penyelidik USM ke MTE 2019 berkata, USM meneruskan tradisi kecemerlangan apabila meraih pingat bagi kesemua 14 produk penyelidikan yang dipertandingkan.
"Pada edisi kali ini kita turut teruja apabila menyaksikan kecemerlangan penyelidik-penyelidik wanita USM yang berjaya meraih lima daripada enam emas yang dimenangi.
"Ini menunjukkan bahawa kualiti penyelidikan mereka setanding dengan penyelidik-penyelidik antarabangsa kerana MTE bukan sekadar disertai oleh pelbagai institusi penyelidikan dan pendidikan tempatan malah turut meraih penyertaan sebanyak 18 negara luar seperti Croatia, Poland, Amerika Syarikat, Iran, Taiwan, Arab Saudi dan sebagainya," katanya.
Beliau juga berkata, daripada 14 produk yang dipertandingkan, dua daripadanya telah melalui fasa pengkomersialan dan mendapat geran dari rakan industri, selain menunggu proses perlesenan dan sebagainya," ujar beliau.
Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1630