USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROFESOR MUHAMAD JANTAN, TNC BARU USM

DSC 1610

PULAU PINANG, 22 Jan. 2013 - Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah bersetuju untuk melantik Profesor Muhamad bin Jantan, 57, sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)  Universiti Sains Malaysia (USM) selama tiga tahun bermula 1 Februari ini.

Jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM kosong apabila penyandangnya ketika itu, Profesor Dato’ Asma Haji Ismail dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada Disember 2012.

Muhamad, anak kelahiran Tampin, Melaka itu sebelum ini adalah Pengarah Bahagian Pembangunan Institusi USM sebelum dilantik menjadi Dekan Institut Pengajian Siswazah pada 1 Januari lalu.

Muhamad memegang ijazah Sarjana Muda Sains (B.Sc. – 1st Class) dari University of Warwick dan Ph.D dari University of Wales, United Kingdom.  Selepas menjadi tutor di College of Wales, Aberystwyth pada 1979, beliau kembali ke Malaysia  memulakan kerjayanya di USM pada tahun 1982 di Pusat Pengajian Sains Matematik, kemudiannya berpindah ke Pusat Pengajian Pengurusan pada tahun 1990.  Beliau dilantik sebagai Profesor Madya pada tahun 1993 dan kemudiannya sebagai Profesor pada tahun 2000.

Muhamad dilantik memegang pelbagai jawatan utama di USM, terlibat dalam perancangan-perancangan utama dalam pelbagai jawatankuasa dalam membangunkan USM di samping memberikan khidmat kepakarannya kepada pihak luar termasuk kepada Kementerian Pengajian Tinggi, termasuk melalui Jawatankuasa Universiti APEX, Universiti Penyelidikan, Institut Penyelidikan Kerajaan (GRIs), Pusat Kecemerlangan (HiCOEs), Geran FRGS dan “Top Business School”. Muhamad turut memberikan sumbangan kepakarannya melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Lembaga Akreditasi Negara, Majlis Profesor Negara dan Jawatankuasa Sistem Penarafan Institut Pengajian Tinggi Malaysia (SETARA 2011).

Muhamad juga terlibat dalam memberikan perundingan kepada pelbagai syarikat dan industri termasuk Motorola, Intel, Solectron, Matsushita dan banyak lagi di samping pertubuhan seperti Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) serta terlibat aktif dalam pertubuhan sukarela seperti Koperasi Kanak-kanak Spastik Pulau Pinang. Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa 

  • Created on .
  • Hits: 6954

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024