CEMACS USM POTENSI JADI TUMPUAN SEKTOR PELANCONGAN PENDIDIKAN
TELUK BAHANG, 1 Februari 2018 – Pusat Kajian Samudera dan Pantai, Universiti Sains Malaysia (USM) atau lebih dikenali sebagai CEMACS berpotensi tinggi untuk diketengah sebagai salah satu tumpuan pelancongan utama di Pulau Pinang khususnya pelancongan pendidikan (edutourism).
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, dengan prasarana yang lengkap dan kepelbagaian koleksi khazanah laut hasil penyelidikan CEMACS, ia wajar dikongsi bersama masyarakat bagi tujuan memberi kesedaran tentang khazanah laut yang perlu dihargai ini.
"Sememangnya Malaysia khususnya di Pulau Pinang cukup kaya dengan khazanah lautan dan pesisir pantai, dan semestinya kekayaan ini perlu dikongsi dengan pelancong dalam mahu pun luar negara terutamanya golongan muda agar ia memberi impak tinggi kepada industri pelancongan tanah air," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen kawasan Balik Pulau berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia bersama Tourism Malaysia sedia bekerjasama dengan USM dalam pembangunan pelancongan di CEMACS termasuk menaiktaraf prasarana laluan masuk/akses ke pusat ini agar ia menjadi salah satu tumpuan pelancong di negeri ini.
"Kemudahan di sini cukup lengkap dengan lokasinya yang strategik serta terdapatnya pelbagai koleksi pameran seperti gamat, terumbu karang, spesis lautan dan cangkerang yang cukup menarik perlu dipromosi kepada khalayak ramai terutamanya pelajar sekolah dan universiti supaya mereka berpeluang untuk melihat sendiri khazanah lautan yang berharga ini," katanya lagi ketika hadir melawat pusat tersebut.
Pada majlis yang sama, Pengarah CEMACS USM, Profesor Dato' Dr. Aileen Tan Shau Hwai berkata, sememangnya masyarakat umumnya kurang kesedaran mengenai kekayaan biodiversiti hidupan laut yang dimiliki di Malaysia terutamanya di Pulau Pinang dan hal ini harus diberi perhatian serius.
"Oleh itu, menjadi hasrat USM untuk mengetengahkan CEMACS sebagai lokasi pelancongan utama di negeri ini bertujuan menyebar luas pengetahuan tentang kepelbagaian hidupan laut yang perlu dipelihara bersama, selain memastikan kelestarian khazanah laut terjamin melalui usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan ekosistem marin dan pesisir yang sedang giat dijalankan," tambah Aileen Tan.
Pada sesi tersebut, Muhammad Bakhtiar turut dibawa melawat sekitar kawasan CEMACS dan galeri-galeri penyelidikan yang dilihat berpotensi untuk pembangunan industri pelancongan.
Turut hadir bersama sesi lawatan Timbalan Menteri ini adalah pensyarah dan pegawai penyelidik CEMACS USM.
CEMACS merupakan pusat kajian laut dan pantai tertua di negara ini. Ia menjalankan penyelidikan dan latihan tertumpu kepada biodiversiti dan pemuliharaan ekosistem laut, ekosistem pantai, ekosistem hutan pesisir, mariculture dan kajian ekologi mamalia laut.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 3200