USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ANAK ANGKAT SEDIM TERUS BERBAKTI

PULAU PINANG, 28 Januari 2019 - Seramai 70 orang pelajar dan pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF), Universiti Sains Malaysia (USM) menjalankan program 'anak angkat' dalam program Baktisiswa Sedim bertemakan "Best of Care, Close to Home". 

Baktisiswa Sedim yang diadakan baru-baru ini selama empat hari tiga malam ini bermatlamat untuk membantu pelajar yang ingin menyumbangkan khidmat nasihat kesihatan dan kebajikan kepada penduduk kampung berdekatan dengan kediaman mereka sendiri. 

Menurut Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi, Profesor Dr. Habibah A. Wahab, program ini merupakan salah satu persiapan kepada para pelajar untuk berinteraksi dengan masyarakat setelah bergraduasi kelak. 

“Selain itu, ianya dapat memberikan pendedahan kepada para pelajar tentang erti kehidupan di masa akan datang dan membuka peluang untuk para pelajar berbakti kepada masyarakat,” tambahnya. 

"Saya berharap para pelajar dapat memanfaatkan peluang ini untuk menimba pengalaman dan mengasah kemahiran komunikasi mereka," kata Habibah lagi. 

"Selain itu, kami juga telah menyampaikan sedikit sumbangan kepada beberapa keluarga asnaf bertujuan untuk meringankan beban mereka selain melakukan ‘medication review’ bagi membantu mereka untuk lebih memahami ubatan yang sedang mereka ambil.

“Sepanjang program ini berlangsung, para pelajar turut mendapat peluang untuk belajar budaya, sejarah dan permainan tradisional penduduk setempat seperti congkak dan batu seremban.

Selain itu, pelajar juga berpeluang melawat lokasi-lokasi menarik dan bersejarah di mukim tersebut seperti Rumah Lindungan Raja Sedim dan mengenali seni kraftangan penduduk tempatan.

“Program ini telah memberi peluang kepada kedua-dua pihak pelajar dan penduduk kampung untuk saling mengenali dan belajar daripada satu sama lain. 

“Semoga impak daripada program ini akan menjadikan pelajar lebih cakna dengan keperluan kesihatan masyarakat dan penduduk kampung lebih menghargai kesihatan mereka dan menyedari kepentingan peranan ahli farmasi dalam sistem penjagaan kesihatan ahli masyarakat,” tambah dekan lagi. 

Pengarah Projek, Ahmad Ilman Abd. Ghapar berkata, program yang diadakan ini mengetengahkan konsep 'anak angkat' bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara pelajar dan penduduk kampung. 

“Antara program yang telah diadakan termasuklah gotong-royong, ceramah dan acara sukaneka,” tambahnya.

Slot “Pharmacist-in-action” juga telah diadakan dengan kerjasama para pensyarah daripada pusat pengajian yang memberikan informasi berguna kepada penduduk berkaitan penyakit-penyakit tertentu dan penggunaan rasional ubat-ubatan.

Baktisiswa Sedim turut menyediakan pemeriksaan kesihatan secara percuma dan program derma darah untuk meningkatkan kesedaran  tentang kesihatan dalam kalangan penduduk kampung. 

Teks: Dr. Amirah Mohd Gazzali / Suntingan: Nor Rafizah Md Zain

  • Created on .
  • Hits: 1945

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024