USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MERIAM DAN MORTAR LEBIH 200 TAHUN DIJUMPAI, KETUA MENTERI PULAU PINANG LAWAT TAPAK PENEMUAN TERBAHARU USM

DSC 3400

GEORGETOWN, 28 Januari 2018 – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow meluangkan masa hadir melawat tapak penemuan bersejarah terbaharu oleh Universiti Sains Malaysia (USM) berikutan penemuan selaras meriam dan selaras mortar yang mampu melengkapkan data sejarah sebenar Fort Cornwallis, Padang Kota Lama, Pulau Pinang.

Selepas dua laras meriam dijumpai sekitar kawasan tersebut pada tahun lepas, penyelidik-penyelidik Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM sekali lagi berjaya menemukan artifak sejarah terbabit semasa kerja ekskavasi pada hari Jumaat lepas.

DSC 3399

Kedua-dua artifak itu dikenal pasti berusia lebih 200 tahun iaitu zaman King George British sekitar tahun 1780-1882.

DSC 3451

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM, Profesor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin, berdasarkan kajian yang dibuat berkemungkinan besar lebih 100 laras meriam dan 10 laras mortar masih tertanam di sekitar Fort Cornwallis, dan kajian serta kerja ekskavasi akan terus dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara.

“USM telah diberi kebenaran oleh Jabatan Warisan Negara bagi menjalankan kajian dan kerja ekskavasi di tapak Ford Cornwallis sehingga bulan November tahun ini, diharap dalam tempoh tersebut kita mampu mengenalpasti dan mencungkil data-data yang lebih lengkap mengenai sejarah Fort Cornwallis yang hanya kini berdasarkan teori sejarah tetapi tiada pembuktian khusus di tapak itu,” katanya.

DSC 3428

Katanya lagi, meriam dan mortar itu akan dihantar ke Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM untuk pemuliharaan dan analisis selanjutnya.

Pada masa yang sama, Ketua Menteri Pulau Pinang amat mengharapkan penemuan-penemuan bersejarah ini mampu menguatkan lagi bukti sejarah Kota Cornwallis yang pernah diduduki oleh British dan Jepun, seterusnya sebagai warisan negeri Pulau Pinang yang perlu dipelihara.

DSC 3452

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato' Seri Farizan Darus; ahli-ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang; Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM, Dr. Velat Anak Bujeng; dan para penyelidik pusat berkenaan.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1905

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024