VIEWS FROM PULAU PINANG: BUKU KOLEKSI PENULISAN ARTIKEL TIGA PENYELIDIK USM DILANCAR
PULAU PINANG, 25 Januari 2019 – Koleksi penulisan artikel sepanjang tahun 2016 sehingga 2017 yang dipaparkan di dada akhbar New Sunday Times Malaysia hasil cetusan idea tiga pensyarah yang juga penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) akhirnya berjaya dibukukan dan dilancar pada hari ini.
Koleksi artikel yang dikongsi berkaitan pelbagai aspek pembangunan, pembinaan dan pendidikan bangsa termasuk pendekatan baharu untuk perbandaran dan hubungan antara bandar dan kampung di Pulau Pinang, sistem universiti dan revolusi digital serta tadbir urus negeri ini dan kepentingan inovasi penyelidikan sains sosial yang berkait rapat pemikiran dasar untuk masa depan Malaysia, telah dikumpul dan dijadikan buku untuk perkongsian ilmu buat masyarakat negara ini khususnya Pulau Pinang.
Buku bertajuk ‘Views from Pulau Pinang - Countering Modern Orientalism and Policy Perspectives’ merupakan hasil penulisan serta gabungan idea tiga anak kelahiran Pulau Pinang yang juga pensyarah berpengalaman di Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) USM iaitu Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican, Profesor Madya Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk dan pensyarah Pusat Pengajian Seni USM, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohamed Ghouse Nasuruddin yang cukup sinonim dengan pengetahuan sejarah, pembangunan dan sosioekonomi negeri Pulau Pinang.
Majlis pelancaran buku tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Tan Sri Dato’ Dr. Mohd Munir Abdul Majid di Eastin Hotel, Pulau Pinang.
Mohd Munir berkata, penerbitan ilmiah seperti ini seharusnya diperhebat oleh USM agar masyarakat umum dapat mempelajari dan memanfaatkan apa yang terbaik untuk pembangunan sains sosial dan sosioekonomi negeri Pulau Pinang khususnya.
Yang turut hadir adalah Pengerusi Malaysian Institute of Economic Research (MIER), Tan Sri Dato’ Seri Sulaiman Mahbob; Mantan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan; Pengarah CenPRIS, Profesor Madya Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk; para penulis yang turut memberikan penerangan lanjut berkenaan buku tersebut iaitu Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican dan Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohamed Ghouse Nasuruddin serta para pegawai utama universiti.
Buku setebal 103 muka surat itu sudah berada di pasaran dengan harga RM25.00 senaskah.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1688