MENTERI PENDIDIKAN GARISKAN 4 HALA TUJU UNTUK KEMBALIKAN WIBAWA PENGAJIAN TINGGI
UPM, SERDANG, 14 Januari 2019 - Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menggariskan empat hala tuju untuk mengembalikan kewibaan bidang pengajian tinggi di Universiti Awam (UA) dan Pengajian Tinggi di Malaysia.
Empat hala tuju tersebut ialah peningkatan kualiti, autonomi, kolaborasi dan pengantarabangsaan.
“Peningkatan kualiti adalah menerusi tiga aspek iaitu kecemerlangan, relevan dan keberkesanan manakala autonomi pula dibahagikan kepada kluster bagi mewujudkan sinergi dan kolaborasi,” kata Maszlee di Majlis Amanat Menteri Pendidikan Malaysia tahun 2019 di sini hari ini yang dihadiri lebih 4,000 warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Tambahnya lagi, untuk kolaborasi pula, ekosistem kecendiakawanan mesti disemarakkan lagi melalui hubungan mentor-mentee antara profesor senior dan pensyarah baharu bakal mewujudkan lebih banyak ‘school of thoughts’ dalam bidang masing-masing.
“Hala tuju keempat iaitu pengantarabangsaan perlu digerakkan dengan lebih drastik dan menyeluruh dan yang paling penting para akademik perlu menjadi rujukan antarabangsa di dalam bidang masing-masing dan bukan lagi menjadi jaguh kampung sahaja,” tambah beliau.
Sementara itu, warga USM menyambut baik apa yang telah digariskan oleh Maszlee termasuk Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.
Menurutnya, perkembangan dan peningkatan dalam kolaborasi dan kerjasama di antara pensyarah senior dalam memberikan bimbingan dan tunjuk ajar kepada pensyarah muda adalah sesuatu yang memanfaatkan kedua-dua pihak.
“Malah, di USM kita mempunyai program yang dinamakan Flexible Scheme for Retired Scholars (FSRS) yang mana pensyarah dan pakar dalam pelbagai bidang diambil berkhidmat semula bagi membantu dalam hala tuju USM bukan sahaja dalam bidang kepakaran masing-masing malah turut mempunyai nic masing-masing,” tambah Abdul Rahman.
"Saya sangat tertarik dengan inisiatif untuk memperkasakan UA melalui autonomi dan ianya sewajarnya dilaksanakan termasuk mengkaji semula Governan supaya dapat meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan di pelbagai peringkat," kata Pendaftar USM, Dr. Musa Ali.
Tambahnya lagi, ianya sekaligus akan dapat memupuk peningkatan kualiti pendidikan tinggi di samping mempercepatkan proses pengurusan UA yang selama ini menuntut supaya autonomi dapat dilaksanakan di UA.
Turut hadir dari USM ialah Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail; Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah; Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dato' Dr. Ahmad Sukari Abdul Halim dan Ketua Pustakawan, Rugayah Ali.
Teks: Nor Rafizah Md. Zain/Foto: Mohd Fairus Md. Isa & Nor Amin Zainal
- Created on .
- Hits: 1809