USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ANAK MUDA BERJIWA BESAR BERTERIMA KASIH KEPADA USM

DSC 1590

PULAU PINANG, 19 Januari 2013 - Di antara lebih 250 pelajar yang ditemuduga, Wilson Beh Wei Chean, 22 yang mengikuti program Sarjana Muda Pengurusan di Universiti Sains Malaysia (USM) telah terpilih mengikuti Global UGRAD Program bersama 2 pelajar Malaysia yang lain.

Program ini adalah salah satu program pertukaran pelajar yang ditaja oleh kerajaan Amerika Syarikat dan memberi peluang kepada para pelajar untuk merasai pengalaman belajar di luar negara serta menimba pengalaman sebagai pelatih di syarikat-syarikat terkemuka di Amerika Syarikat.

Menurut Wilson, hanya beliau ditawarkan untuk mengikuti program ini selama dua semester berbanding hanya satu semester bagi dua orang pelajar Malaysia yang lain. Pengalaman menuntut ilmu di Marymount University (MU), Washington D.C. telah membuka mata dan minda beliau betapa berbezanya belajar di luar negara berbanding di Malaysia.

“Seperti kata pepatah, hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, lebih baik di negara sendiri. Walaupun saya berpeluang mengenali pelbagai budaya semasa di Amerika Syarikat, saya sangat rindu dengan suasana dan budaya Malaysia,” kata beliau yang telah kembali ke Malaysia pada Jun 2012.

“Hari ini adalah hari terakhir saya di USM. Jadi, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang menyokong dan membantu saya terutamanya Y. Bhg. Profesor Dato’ Omar Osman (Naib Canselor) yang ketika saya menerima tawaran ini beliau adalah Timbalan Naib Canselor, Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar,” cerita beliau semasa bertemu dengan Naib Canselor di Pejabat Naib Canselor hari ini.

DSC 1604

“Apabila diimbau kembali, saya dapati penglibatan aktif saya dalam beberapa persatuan kepimpinan pelajar di sepanjang 2 tahun pertama saya di USM telah banyak membantu membentuk jati diri saya dan ini membolehkan saya tidak gentar berhadapan dengan kehidupan yang mencabar di Amerika Syarikat,” kata anak muda yang berasal dari Nibong Tebal ini.

Wilson menerima biasiswa berjumlah lebih kurang USD40,000.00 sepanjang 9 bulan berada di sana. Sebahagian wang yang berjaya dijimatkan dapat digunakan untuk melawat lebih 15 bandar di Amerika di samping menggunakan juga pendapatan yang diterimanya sebagai pelatih di World Bank Group.

Beliau juga dipilih menjadi wakil Malaysia untuk mengikuti Global Clinton Initiative University, di mana beliau telah berkesempatan bertemu dengan mantan Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton. - Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 3304

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024