USM KONGSI ILMU ICT DAN TEKNOLOGI BERSAMA ORANG ASLI SUNGAI SIPUT, PERAK
PULAU PINANG, 2 Disember 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan agenda membantu dan mengupayakan golongan terkebawah dengan mengadakan Program Libatsama Universiti Komuniti bersama masyarakat orang asli di Sekolah Kebangsaan Pos Kuala Mu (Orang Asli), Lasah, Sungai Siput, Perak baru-baru ini.
Menurut Pengarah Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM), Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, program di Sekolah Kebangsaan Pos Kuala Mu itu adalah anjuran PTPM dengan kerjasama Kumpulan Siswa Siswi Darul Ridzuan (Kusisdari) USM dan ia merupakan program siri yang ke-10 penjelajahan ke beberapa kawasan penduduk orang asli sekitar Semenanjung Malaysia.
“Sebelum ini, program seumpama ini telah diadakan di beberapa sekolah orang asli antaranya Sekolah Kebangsaan RPS Banun, Gerik; Sekolah Kebangsaan Pos Perwor, Sungai Siput; Sekolah Kebangsaan Pos Kemar, Sungai Siput; Sekolah Kebangsaan Batu 7, Tapah dan Sekolah Kebangsaan Pos Legap, juga di Sungai Siput.
"Objektif program ini adalah untuk memindahkan ilmu ICT dan teknologi kepada golongan terkebawah iaitu masyarakat orang asli, selain mewujudkan jaringan kerjasama dan penglibatsamaan antara universiti dan komuniti masyarakat orang asli di negara ini khususnya di negeri Perak Darul Ridzuan," kata Wan Ahmad Jaafar yang juga merupakan Penasihat Kusisdari.
Tambahnya, program ini dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu "Student Knowledge Transfer Programme" (SKTP) yang memberi fokus kepada proses pemindahan teknologi dan pengetahuan kepada masyarakat orang asli dengan memberi pendedahan ICT melalui pengajaran modul seperti teknik mengambil gambar/imej produk kraftangan/pertanian, penambahbaikan kualiti imej menggunakan aplikasi Picasa, membuat akaun Email, membuka dan merekabentuk Blog atau Facebook dengan tujuan memasarkan hasil/produk kraftangan/pertanian secara atas talian.
“Kesemua aktiviti ini hanya menggunakan telefon bimbit para peserta. Fasilitator yang terlibat adalah siswa/siswi Kusisdari yang telah dilatih khusus untuk memindahkan ilmu dan pengetahuan teknologi ICT secara ‘one-to-one’ bagi mendapatkan kualiti penyampaian yang terbaik,” jelasnya.
Katanya lagi, golongan peserta yang diajar merupakan belia yang telah dipilih oleh tok batin di beberapa perkampungan di situ. Selain itu, aktiviti sukaneka dan melukis mural turut dijalankan bersama murid-murid Sekolah Kebangsaan Pos Kuala Mu.
Pada program yang sama, pengarah projek, Ahmad Heidey Iskandar Mohd Rayhan, pelajar tahun dua Pusat Pengajian Pengurusan, USM berkata program SKTP ini dapat memberi pengalaman berguna kepada siswa dan siswi USM ke arah mewujudkan masyarakat yang memiliki keperibadian yang bersepadu dari segi rohani, akidah dan jasmaniah, bertanggungjawab, bersemangat sukarela dan patriotik untuk menjadi penggerak kepada kemajuan dan kemakmuran negara, dan aktiviti ini selari dengan visi Kementerian Pendidikan Malaysia.
Program Libatsama Universiti Komuniti ini disertai oleh seramai 38 orang pelajar USM dan 7 orang staf PTPM.
Siri 1 hingga siri 7 Program Libatsama Universiti Komuniti ini telah mendapat pengiktirafan daripada pihak Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan telah mendapat Anugerah Cemerlang UCTC bagi kategori Teknologi dan ICT pada 15 Ogos 2015 lalu.
Teks: Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya/Foto: Kusisdari
- Created on .
- Hits: 2961