PROPERBM MARTABATKAN BAHASA MELAYU KE PERINGKAT ANTARABANGSA
USM, PULAU PINANG, 21 Disember 2018 – Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) Universiti Sains Malaysia (USM) menyaksikan salah satu usahanya untuk memartabatkan dan mengantarabangsakan Bahasa Melayu membuahkan hasil apabila sepuluh orang pelajar dari Guangdong University of Foreign Studies (GUFS), negara China yang mengikuti Program Pemindahan Kredit Bahasa Melayu (PROPERBM) selama satu semester di USM berjaya menamatkan pengajian mereka.
Selain sepuluh pelajar GUFS itu, seramai 17 orang pelajar lagi dari dua buah universiti di negara China iaitu Yunnan Minzu University dan Hainan College of Foreign Studies juga mendaftar untuk mengikuti PROPERBMyang ditawarkan oleh PPIK selama dua semester bagi sidang akademik 2018/2019 di USM.
Dalam ucapan alu-aluannya, Dekan PPIK, Profesor Dr. Narimah Samat berkata, program itu secara umumnya bertujuan menjadikan USM sebagai satu platform kepada pelajar-pelajar jurusan bahasa Melayu di negara China untuk mengenali alam Melayu baik dari aspek bahasa, budaya, tamadun, pemikiran, sejarah, sastera mahupun terjemahan.
“Melalui program ini, diharapkan pelajar-pelajar dari China akan menjadi duta interaksi antara Malaysia dan China dalam segenap bidang termasuklah ekonomi, sosial dan diplomatik.
“Diharapkan juga apabila mereka kembali ke negara China setelah tamat pengajian mereka di sini, pelajar-pelajar ini dapat mempromosi program ini dengan berkongsi dengan pelajar dan rakan mereka yang lain berkenaan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang ditimba mereka di USM secara khususnya, dan di Pulau Pinang dan Malaysia secara amnya,” kata Narimah yang turut menyampaikan sijil tamat pengajian kepada pelajar-pelajar GUFS yang merupakan kumpulan sulung PROPERBM, dalam majlis khas yang diadakan di sini baru-baru ini.
Beliau juga mengingatkan pelajar-pelajar GUFS itu untuk terus-menerus mempelajari dan seterusnya memanfaatkan bahasa Melayu untuk apa-apa jua kepentingan yang dapat membantu kemajuan dan kemakmuran kedua-dua negara Malaysia dan China.
Turut berada dalam kumpulan sulung pelajar PROPERBM itu ialah Xu Yang atau lebih dikenali sebagai Izzah yang berjaya merangkul kejuaraan pertandingan akhir Pidato Antarabanga Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2018 bagi kategori Pelajar Antarabangsa baru-baru ini, yang menjadi kebanggaan USM dan GUFS.
Majlis itu juga dihadiri Presiden Xi'an International Studies University (XISU), Profesor Wang Junzhe beserta rombongan delegasi XISU; Penyelaras Program PROPERBM, PPIK, Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong; pensyarah dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Pulau Pinang yang juga alumni PPIK dan jurulatih pidato kepada Izzah, Izawanum Abdul Wahid; wakil-wakil Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan program ini dan pelajar-pelajar PROPERBM yang diraikan.
Antara PTJ yang bersama-sama terlibat dalam penawaran kursus program ini ialah Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, Pusat Pengajian Seni dan Pusat Rancangan Kokurikulum USM.
Dalam majlis yang sama, hadirin turut dihiburkan dengan persembahan kebudayaan – kompang berlagu, deklamasi sajak, nyanyian dan tarian tradisional – oleh pelajar-pelajar dari negara China dan PPIK.
Teks: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 2325