USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

REALISTIK KEPADA ANAK AUTISM

usmippt

PULAU PINANG, 18 Jan.2013 – Ibu bapa disaran supaya bersikap lebih realistik terhadap anak-anak autism seiring dengan kemampuan dan tidak meletakkan harapan yang keterlaluan kepada mereka.

Pakar kanak-kanak Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Intan Juliana Abdul Hamid berkata, autisme adalah gangguan perkembangan yang sangat kompleks pada kanak-kanak yang gejalanya sudah timbul sebelum kanak-kanak itu mencapai usia 3 tahun.

Katanya, penyebab autisme adalah gangguan neurobiologis yang mempengaruhi fungsi otak sehingga kanak-kanak tidak mampu berinteraksi dan berkomunikasi dengan dunia luar secara efektif.

``Justeru, ibu bapa perlu memahami perkara ini dengan baik, selain tidak mudah berputus asa dan cuba libatkan diri dengan kumpulan sokongan seperti Autism Parent Support Group (APSG) bagi mendapatkan sokongan  moral dan motivasi berterusan.

`` Jika dilihat dari segi fizikal kanak-kanak yang mengalami autisme nampak normal tetapi hakikat sebenarnya tidak normal kerana fungsi otak mereka terganggu,’’ katanya ketika menyampaikan ceramah Apakah itu Autisme? di Sungai Petani baru-baru ini.

Ceramah tersebut diadakan bersempena seminar khas anjuran IPPT USM, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran penyakit autisme dalam kalangan ibu bapa dan penjaga kanak-kanak autisme.

Tambah Dr. Juliana, secara ringkasnya tanda-tanda autisme adalah lambat bercakap, tidak normal atau tidak boleh bertutur, bahasa tanpa lisan yang tidak normal, kurang pergerakan anggota badan, sukar bergaul, bermain sendiri dan sebagainya.

Pun begitu tegas beliau, autism boleh dirawat dengan pelbagai kaedah rawatan termasuk berjumpa dengan Pakar Kanak-kanak, Pakar Psikiatri Kanak-kanak, Jurupulih Perubatan Carakerja, Jurupulih Perubatan Anggota dan sebagainya.

``Ibu bapa perlu sentiasa peka dengan perkembangan anak-anak dan segera membawa mereka berjumpa jika mengesyaki anak mempunyai ciri-ciri autism, Jika memerlukan pemeriksaan lanjut, anak-anak akan dirujuk kepada pakar,’’ kata beliau.

Dalam pada itu, seminar sehari tersebut dianjurkan dengan kerjasama Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (The National Autism Society of Malaysia - NASOM) dan Autism Parent Support Group (APSG) Sungai Petani.

Seminar yang dirasmikan Ketua Jabatan Psikiatri & Kesihatan Mental HSAH. Dr. Shamshunnisah Abu Bakar itu mendapat sambutan menggalakkan dengan penglibatan 210 peserta terdiri daripada ibu bapa, guru-guru dan kakitangan hospital.

Turut bertindak sebagai penceramah ialah Pakar Psikiatri Kanak-Kanak HSAH Dr. P. Vasanthi  dan Timbalan Pengetua NASOM Cawangan Kuala Lumpur, Rusmawati Abdullah. 

 

 

 

 

  • Created on .
  • Hits: 3422

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024