DESASISWA TEKUN KEKALKAN KEJUARAAN DEBAT PIALA NAIB CANSELOR
NIBONG TEBAL, 11 Disember 2018 – Desasiswa Tekun, Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mengekalkan kejuaraan dalam pusingan akhir Debat Piala Naib Canselor (DPNC) 2018 yang diadakan di Kampus Kejuruteraan baru-baru ini.
Muhammad Syahdat Naquiyuddin Hadi Suhardi, Mohammad Taufiq Lamran dan Alzelina Syarif selaku pihak kerajaan berjaya mengatasi pihak pembangkang dari Desasiswa Saujana yang diwakili oleh Nur Athirah Mohamad Azwan, Nor Syuhada Azam dan Priyanka Gunasagaran.
Menurut Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dalam ucapan penutup, DPNC diwujudkan untuk membolehkan pelajar mengasah kemahiran komunikasi mereka dengan lebih H.E.B.A.T melalui hujah-hujah yang kukuh serta meyakinkan sepanjang pertandingan berlangsung.
“Pelajar juga akan dapat menguasai kemahiran menganalisis yang mana mereka perlu mencari setiap kebaikan serta keburukan topik yang diberikan untuk digunakan kepada pencabar masing-masing di dalam pertandingan ini,” kata Asma.
“Saya turut berharap agar DPNC akan menjadi medium untuk berkongsi pengetahuan bukan sahaja kepada para peserta yang sememangnya perlu menguasai usul yang diketengahkan, malah para penonton juga akan pulang dengan ilmu baharu sebaik sahaja program ini berakhir,” tambah Asma.
Dengan usul ‘Kecerdasan Buatan Mengancam Tenaga Kerja Manusia’, pemenang berjaya membawa pulang Piala Pusingan, wang bernilai RM1,000 dan sijil. Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Naib Canselor USM.
Priyanka juga terpilih sebagai Pendebat Terbaik Pusingan Akhir.
Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria pula menyatakan bahawa beliau sangat berbangga dengan barisan ahli jawatankuasa dari kalangan pelajar yang berjaya menganjurkan pertandingan berskala besar seperti DPNC ini.
“Jelas sekali bahawa pelajar-pelajar kita juga mempunyai kualiti dalam memimpin.
“Ianya akan menjadi nilai tambah kepada kebolehpasaran mereka kelak, apatah lagi pada masa ini terdapat permintaan yang tinggi dari industri terhadap graduan USM, terutamanya graduan dari bidang kejuruteraan,” kata Azazi.
Berlangsung dari 7 hingga 9 Disember 2018, DPNC 2018 menyaksikan sepuluh pasukan dari 11 desasiswa berentap untuk merebut kejuaraan tahunan ini.
Turut hadir adalah suami kepada Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Zakaria dan Mejar Ts. Dr. Mohd Hazizan Mohd Hashim yang merupakan Pengerusi Jabatan Kejuruteraan Induk Program.
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 1522