USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LED RUN PUPUK PERPADUAN, KUMPUL DANA DAN PROMOSI SAMBUTAN 50 TAHUN USM

EAM 3692

USM, PULAU PINANG, 3 Disember 2018 – LED Run yang berlangsung baru-baru ini anjuran Pusat Alumni, Kerjaya dan Kebolehpasaran (ACE) Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan acara julung kalinya anjuran pusat ini dan mendapat sambutan yang hebat dari dalam dan luar USM.

Menurut Pengarah ACE, Dr. Norazharuddin Shah Abdullah, matlamat utama program ini ialah untuk mendukung agenda USM Fit, memupuk perpaduan dan membantu mengumpul dana bagi melancarkan Pusat Kerjaya USM. 

“Pastinya ada tujuan-tujuan lain seperti mendapatkan pengalaman berkenaan gambaran kampus pada waktu malam di sebalik kesibukan waktu siang, selain mempromosi ACE sebagai salah satu Pusat Perkhidmatan terutamanya bagi siswa dan siswi,” katanya.

Tambah beliau lagi, program ini juga bertindak sebagai kayu pengukur buat ACE untuk melaksanakan aktiviti yang serupa pada skala yang lebih besar bagi sambutan 50 Tahun USM pada tahun 2019.

“Kami ingin mendapatkan minimum 200 penyertaan, bagi membolehkan aktiviti ini mendapat perhatian umum warga kampus tetapi Alhamdulillah, kami terpaksa menutup penyertaan pada kiraan 330 peserta, walaupun masih terdapat ramai permintaan,” ujarnya.

Aktiviti ini berlangsung sebagai konsep 'Fun Run' dengan ditemani lampu-lampu LED sejauh 5 km, dan program dimulai dengan acara senamrobik. 

Pihak ACE berharap agar semua peserta bergembira dengan selamat dan mendapat pengalaman baharu, di samping mereka dapat merakamkan dan mengabadikan senyuman mereka setelah berjaya menamatkan acara tersebut.

Perasaan gembira dan berjaya adalah antara elemen penting dalam memastikan dan mengekalkan suasana positif penghuni kampus.

Keunikan pencapaian bagi larian ini amat menarik kerana selain sebagai aktiviti kayu pengukur, ianya dirancangkan dalam masa yang sangat singkat, iaitu hanya 3 minggu promosi. 

Bagi pihak ACE, mereka turut berharap agar warga kampus dapat sentiasa mengikuti program BHEPA amnya, dan ACE khususnya.

Larian ini mendapat penyertaan sebanyak 330 peserta, dengan purata 30% peserta dari luar kampus.

Juara Fun Run ini telah disandang oleh staf USM, Hafiz Meah Ghouse Meah dalam larian 5 km dengan catatan masa 22 minit.

Tetamu utama yang hadir ialah Patron Malaysian Masters Athletics Association dan Presiden Asia Masters Athletics Association, Datuk Seri V. Pulainthiran. 

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Ebrahim Abdul Manan

  • Created on .
  • Hits: 1425

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024