USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERANAN BESAR AHLI AKADEMIK BANTU ISU KELESTARIAN

BATU FERINGGHI, PULAU PINANG, 29 November 2018 – Cendekiawan yang terdiri daripada ahli akademik dan penyelidik mempunyai peranan yang amat besar membantu mencari penyelesaian membabitkan isu kelestarian yang dihadapi global masa kini.

Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Tan Sri Datuk Mustafa Mansur berkata, isu kelestarian yang semakin hangat diperkatakan kini wajar dijadikan sebagai satu tambatan buat ahli akademik, penyelidik mahupun jurutera-jurutera profesional melaksanakan tanggungjawab mereka bagi membantu masyarakat mengatasi masalah ini.

“Saban hari kita menyaksikan model pembangunan yang tidak lestari dan memberi implikasi buruk kepada manusia dan bumi keseluruhannya. Jadi cendekiawan amat diharapkan untuk membantu menyalurkan kepakaran bagi memikirkan dasar-dasar yang mampu menyeimbangkan kembali biodiversiti, kemampanan sosial, ekonomi dan alam sekitar pada tahap yang terbaik,” katanya ketika merasmikan 6th International Conference on Recent Advances in Materials, Minerals and Environment (RAMM2018) di Bayview Beach Resort, di sini kelmarin.

Tambah Mustafa, dengan berkumpulnya lebih 200 ahli akademik dan penyelidik dalam dan luar negara yang mahir di dalam kejuruteraan bahan dan sumber mineral ini sekaligus dapat mencari penyelesaian terbaik untuk diketengah bagi menggalas harapan negara yang mahukan pembangunan mampan dan memenuhi keperluan asas manusia di seluruh dunia.

“Syabas dan tahniah buat Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral USM yang sentiasa berusaha mencari jalan untuk mengumpulkan cendekiawan bagi sebulat suara membincangkan isu-isu kelestarian membabitkan pembangunan bidang bahan dan sumber mineral secara lestari,” katanya lagi.

Dalam persidangan selama tiga hari itu, lebih 50 kertas kerja dibentangkan melibatkan inovasi, idea baru, penyelesaian semasa dan perkongsian pengalaman melalui penyelidikan terkini dan teknologi dalam dan luar negara.

Yang turut hadir adalah Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral USM merangkap Pengerusi RAMM 2018, Profesor Ir. Dr. Zuhailawati Hussain; pembentang ucaptama dan plenari serta pembentang jemputan, dan ahli-ahli akademik dari universiti-universiti tempatan dan luar negara termasuk dari Jepun, Thailand, Filipina, Republik Czech dan Singapura.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar



  • Created on .
  • Hits: 943

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024