PiPPA: DOKONG USAHA TRANSFORMASI SEKTOR AWAM
PULAU PINANG, 16 Januari 2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) akan terus bekerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi luar negara untuk memupuk dan memantapkan budaya inovasi dan produktiviti dalam kalangan penjawat awam di Malaysia dan juga negara membangun yang lain.
Hal ini dinyatakan oleh Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman dalam satu majlis makan malam yang dianjurkan oleh universiti sempena kunjungan Profesor James L. Perry, seorang tokoh akademik terkenal dalam pentadbiran awam dari Indiana University, Amerika Syarikat ke USM.
“Kerjasama ini telah diperkukuhkan dan direalisasi dengan penubuhan Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PiPPA) yang berperanan untuk melatih pembangunan kakitangan awam selain menjadi institusi penyelidikan pengurusan pembangunan sumber manusia di Asia,” kata Omar.
Tambahnya lagi, sebagai pusat latihan berasaskan penyelidikan, PiPPA diharap dapat mendokong usaha transformasi sektor awam di Malaysia.
Turut hadir dalam majlis makan malam itu ialah delegasi dari rakan strategik luar negara dalam pengajian pentadbiran awam seperti Murdoch University, University of Western Australia, City of Mandurah, City of Rockingham, Australia dan wakil dari Kementerian Kesihatan Saudi serta pegawai-pegawai utama universiti.
Dalam lawatannya ke USM, Profesor James Perry, yang juga merupakan Penasihat Kehormat PiPPA, telah mengadakan sesi perbincangan dengan pegawai dan pentadbir PiPPA dan akan menyampaikan syarahan umum bertajuk “Motivational Foundations for Productive Public Service in the 21st Century” di USM pada 17 Januari. – Teks: TAN EWE HOE / Foto: MOHD FAIRUS MD. ISA
- Created on .
- Hits: 2914