USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PEMILIHAN MPP USM LANCAR, FAZILAH RAIH UNDIAN TERTINGGI

USM, PULAU PINANG, 30 November 2018 – Proses pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPPUSM) yang buat pertama kalinya dikendalikan  oleh mahasiswa disifatkan berjalan lancar dan memberangsangkan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein berkata, universiti sentiasa menyokong usaha pemerkasaan pelajar dan proses pemilihan berkenaan adalah antara platform untuk mereka mempelajari ilmu yang tidak diperoleh dalam bilik kuliah.

"Proses pemilihan ini adalah urusan pelajar dan merekalah yang paling layak dan sesuai untuk menguruskannya. Universiti ingin memperkasakan bakat mereka dan nyata dengan sedikit panduan dan bimbingan mereka mampu melaksanakan tugas dengan baik," katanya.

Tambah beliau, proses ini adalah medan pembelajaran kepada semua yang terlibat termasuk calon, urusetia, penyokong dan sebagainya yang diamanahkan menguruskan satu acara besar supaya berjaya.

"Ia melibatkan aspek kemahiran berkomunikasi, membuat keputusan dan saya lihat para pelajar ini mampu melakukannya dengan baik sekali," ujar beliau.

Adnan turut berkata, pihaknya ingin mencadangkan kepada Universiti agar satu urusetia tetap dapat diwujudkan pada masa hadapan bagi memberi ruang kepada pelajar terlibat  menguruskan proses pemilihan berkenaan dari awal termasuk menetapkan tarikh, menguruskan kempen dan sebagainya.

Dalam pada itu, pemilihan berkenaan memperlihatkan Fazilah Harun dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan meraih undian tertinggi bagi konstituensi umum dengan 3,101 undian.

Enam konstituensi umum (ijazah pertama) dipertandingkan di kampus induk USM dengan melibatkan 13 calon manakala 21 calon pula bertanding bagi merebut 11 kerusi daripada lapan pusat pengajian.

Proses pemilihan MPPUSM secara keseluruhannya menyaksikan 45 Konstituensi Pemilihan dan daripada jumlah itu, 29 kerusi adalah di Induk, 8 kerusi di Kampus Kejuruteraan, 7 kerusi di Kampus Kesihatan manakala 1 kerusi pula di Kampus USM-KLE India.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1190

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024