USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM ANJUR BAKTISISWA MESRA RAKYAT KUALA NERANG DALAM MELESTARIKAN BUDI

KUALA NERANG, 29 November 2018 – Seramai 24 pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan program Bakti Siswa baru-baru ini di Kampung Tong Pelu, Kuala Nerang, Kedah. 

Program ini dianjurkan oleh Kelab Perancangan dan Pengurusan Pembangunan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (Kelab 3P) bersama Jawatankuasa Masjid Jamiul Khair, Tong Pelu, di sini.

Menurut pengarah projek, Nurul Akmar Bahari, program ini adalah julung kalinya diadakan di kampung tersebut yang merupakan salah satu kampung yang terletak kira-kira 50km dari bandaraya Alor Setar. 

“Program Bakti Siswa bukanlah asing dalam kalangan pelajar di universiti; ia bukan setakat merapatkan hubungan dan memberikan perkhidmatan sedaya mampu kepada komuniti luar bandar malahan ianya melahirkan pelajar yang lebih intelek.” 

Tambahnya, program kali ini turut memperoleh sumbangan daripada pemimpin tempatan yang dilihat begitu peka dengan masalah masyarakat setempat dan hasil sumbangan tersebut, ianya berjaya menyumbang dua buah kipas kepada masjid dan sekolah.

“Pembahagian pelajar untuk ditempatkan bersama keluarga angkat turut menterjemahkan silaturrahim yang utuh dibina antara pelajar USM dan penduduk di Kampung Tong Pelu,” jelasnya lagi.

Sementara itu, menurut Pengerusi Masjid Jamiul Khair, pengisian program oleh anak-anak dari USM adalah suatu yang sangat bermakna kepada penduduk serta anak-anak muda di kariah ini untuk terus maju di masa akan datang. 

“Pelbagai aktiviti yang telah dilakukan seperti gotong royong, membersih kawasan, sesi motivasi bersama pelajar sekolah, ceramah keselamatan dan aktiviti memasak bersama penduduk kampung dapat mengukuhkan hubungan ilmu dan silaturrahim antara kedua-dua pihak,” tambahnya.

Bagi Pensyarah Perancangan dan Pengurusan Pembangunan USM, Dr. Maslina Mohamed Shaed, program ini akan diteruskan lagi di masa akan datang apabila melihat semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh penduduk kampung amat membanggakan.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah



  • Created on .
  • Hits: 1176

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024